Keputusan tolak kerjasama tidak dipengaruhi mana-mana individu

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dipengaruhi mana-mana individu, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, lebih 100 bahagian menggesa supaya UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan ia bukannya keputusan perseorangan.

“UMNO satu parti yang matang. Penolakan itu bukan kerana sesiapa. UMNO tidak lagi bersama-sama Bersatu semasa pilihan raya nanti.

“Ia bukan keputusan seorang dua tetapi keputusan daripada lebih 100 bahagian, jadi tidak timbul isu dipengaruhi sesiapa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Beliau mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa, UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu Mohamad berkata, UMNO kekal dengan pendirian bekerjasama dengan Pas untuk mengukuhkan Muafakat Nasional, susulan gesaan lebih 100 bahagian untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional.

Sementara itu Rafiei berkata, Pas berpegang pada prinsip memperkukuh Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional, dan mengambil sikap sebagai pengantara sekali gus membentuk kerjasama dalam kalangan Melayu Islam.

“Kami di peringkat negeri akan melaksanakan apa yang diputuskan Pas pusat, dalam mesyuarat tadi, kami bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi melaksanakan program bersama UMNO di peringkat negeri, bahagian dan kawasan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO sah tamatkan kerjasama dengan Bersatu

Bersatu akan keluar kenyataan rasmi: Muhyiddin