Sidang DUN: Kerajaan negeri masih tunggu arahan

Ng Suee Lim
Ng Suee Lim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor masih menunggu arahan lanjut berhubung kebenaran mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan berhubung perkara itu.

Menurutnya, walaupun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat, namun belum ada sebarang tarikh ditetapkan di peringkat Parlimen bagi tujuan tersebut.

"Setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi, jadi kita masih samar-samar, ada pihak kata boleh ada pihak kata tidak boleh, jadi kita masih berada dalam satu keadaan yang tidak menentu.

"Walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan darurat, namun hampir semua sektor sudah mula beroperasi termasuk sekolah malah Zoo Negara dah dibuka, tapi Parlimen belum boleh bersidang dan DUN belum mendapat sebarang arahan, ini adalah sesuatu yang agak tergantung," katanya berhubung status sidang DUN Selangor.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor menyuarakan hasrat berharap sidang DUN yang sepatutnya bermula bulan ini dapat dilangsungkan segera.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk memulakan persidangan seiring dengan amalan demokrasi yang diamalkan.

"Namun, ia perlu selari dengan pelaksanaan peringkat pusat melainkan jika ada pengecualian khusus ke atas negeri-negeri tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita tunggu dan lihat, benda ini terikat dengan proklamasi darurat, masih terlalu awal untuk kita komen tentang keputusan sebenarnya," katanya.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri kini lebih memfokuskan kepada suntikan vaksin kepada ADUN, sementara menunggu keputusan sahih berhubung kebenaran pembukaan sidang DUN.

"Apabila sudah ada kenyataan rasmi berhubung status tersebut, kita memerlukan masa sebulan untuk membuat persediaan termasuk untuk mendapatkan perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan tarikh baharu bagi istiadat pembukaan sidang DUN.

"Setakat ini kita belum menghantar sebarang surat kepada pihak istana, kita cuma dalam rangka mempercepatkan proses suntikan vaksin kepada semua wakil rakyat sebelum tindakan lanjut dilakukan," katanya.