X

Kindly register in order to view this article
!

RM2.4 juta wujudkan 10 kedai bergerak

Syed Abu Hussin Hafiz memberikan dua kilogram ikan kembung kepada Normah Majid (kiri) sambil diperhatikan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Tinggi, Ahmad Abdullah (kanan) pada Program Ikan Rakyat bersempena program Kedai Bergerak Bukit Gantang Prihatin di tapak pasar malam Sungai Kerang, Trong pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

BUKIT GANTANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM2.4 juta untuk mewujudkan sebanyak 10 kedai bergerak, di 50 kawasan Parlimen seluruh negara mulai bulan hadapan.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka melancarkan program kedai bergerak itu di Sepang, Selangor pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, cadangan melaksanakan kedai berkenaan telah dicadangkan LKIM dan mendapat kelulusan dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Kita mengadakan kedai bergerak itu di kawasan yang mempunyai pejabat LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), untuk menjual pelbagai barangan keperluan harian dan ikan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Kedai Bergerak Bukit Gantang Prihatin di tapak pasar malam Sungai Kerang, Trong dekat sini pada Khamis.

Pada program itu, sebanyak satu tan ikan kembung telah diedarkan kepada penduduk di kawasan Trong, dengan setiap penduduk mendapat dua kilogram ikan secara percuma.

Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, kedai bergerak itu merupakan usaha kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pendemik Covid-19, bagi mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang berpatutan dan menikmati diskaun 30 peratus.

Ditanya mengenai bekalan ikan di pasaran, beliau berkata, harga ikan di pasaran masih dapat dikawal dan bekalan tidak terjejas.

“Bekalan ikan hanya berkurangan apabila berlakunya musim tengkujuh,” jelasnya.

Mengenai program kedai bergerak di kawasan Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin berkata, pihaknya mengadakan enam kali kedai bergerak dalam tempoh sebulan di DUN Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering.

Beliau berkata, program ini bertujuan membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19 kerana sebahagian mereka terputus bekalan, oleh kerana aktiviti perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Saya ingin pastikan seluruh pengundi di Bukit Gantang tidak putus bekalan makanan, dan semua rumah masih ada keperluan barangan untuk dimasak dan dimakan.

“Kita juga sedia ‘food basket’ (bakul makanan) untuk mereka yang tidak mampu dan ia akan dihantar kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, sebagai pengerusi LKIM beliau bertanggungjwab untuk mengelolakan pasaran ikan di negara ini.

“Ada keperluan kita untuk dapatkan ikan dan kita agihkan secara percuma. Ikan kembung berharga RM7.30 dan kalau di pasar berharga antara RM12 hingga RM15 sekilogram,” katanya dan turut mencadangkan pemberian ayam dan telur ayam secara percuma selepas ini, sehingga pandemik Covid-19 kembali pulih. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!