Tidak sampai pun ancaman itu pada saya, kata Abdul Hadi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak terancam dengan pihak-pihak yang menyerang mereka dengan menggunakan jenama Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Beliau berkata, perkara itu hanya mengancam parti lain yang dilihat tidak senang dengan Pas.

"Tidak sampai pun ancaman itu pada saya....yang ancamannya (ialah) surat khabar dan Amanah bukannya langsung daripada Clare (Rewcastle-Brown).

"Saya tak tahu sama ada betul daripada dia atau ada (Amanah) yang buat berita," katanya di sidang media selepas berakhir program di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, malam tadi.

Ketika ditanya adakah parti itu tergugat dengan desakan berterusan daripada pihak terbabit, katanya, Pas percaya desakan tersebut bukanlah langsung daripada Clare sendiri.

"Clare tak mengundi di sini. Biarlah dia nak serang pun, apa yang saya tahu bukan dia yang serang... tapi, orang di sini yang serang, dia pakai jenama (Rewcastle-Brown) sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas tidak akan melayan sebarang desakan mana-mana pihak memandangkan segala tuduhan dibuat adalah untuk menjatuhkan parti itu seperti PRU14 lalu.

Beliau berkata, tujuan tuduhan dibuat hanyalah untuk mengalahkan Pas pada PRU14 namun gagal kerana parti itu menang di Kelantan dan Terengganu di samping memiliki 90 kerusi DUN manakala 18 kerusi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Tujuannya ialah untuk kalahkan Pas, tapi Pas tak kalah... dan ia dianggap (telah) selesai," katanya.

Tambahnya, pihaknya dan Editor Sarawak Report itu sudah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah sebagaimana diputuskan 1 Februari lalu.