Amanah Nasional ambil alih pengurusan Amanah Negeri Sembilan

Amanah
Amanah
A
A
A

SEREMBAN - Pengurusan dan Pentadbiran Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan kini diambil alih oleh kepimpinan parti itu di peringkat nasional.

Menurut sumber, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang bersidang pada 7 Februari lalu.

Difahamkan pengambilalihan itu adalah bersifat sementara sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Bagaimanapun faktor kenapa Amanah Negeri Sembilan diambil alih tidak dapat dipastikan.

Namun terdapat dakwaan ia antara lain disebabkan aduan yang dibuat oleh parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang mana mereka bimbang kemelut yang berlaku dalam Amanah Negeri Sembilan akan menggugat kestabilan PH di Negeri Sembilan.

Pengerusinya, MK Ibrahim Abd Rahman ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut berkenaan punca keputusan Amanah Negeri Sembilan diambil alih oleh Pusat.

"Saya sahkan ia betul. Tapi faktor itu hanya dakwaan terhadap Amanah Negeri Sembilan. Itu yang dibincangkan dalam mesyuarat dan dinyatakan sebabnya banyak aduan daripada pimpinan kawasan dan paling serius dari parti komponen PH di Negeri Sembilan.

"Kami terpaksa akur kerana itu keputusan kepimpinan Pusat. Terpulang pada kebijaksanaan kepimpinan nasional," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu beliau mengharapkan semua ahli dapat bertenang dan terus menjalankan gerak kerja seperti biasa.

"Saya boleh katakan apa yang berlaku ini hanya proses disebabkan ada aduan yang tidak diketahui.

"Tapi disebabkan kepimpinan tertinggi parti telah buat keputusan begini, saya minta semua ahli bertenang dan ikut saja program dan arahan parti. Kita doakan ia akan berakhir segera," katanya.