Muslim Pro sedia dua ciri baharu sempena Ramadan

Muslim Pro menyediakan dua ciri baharu sempena bulan Ramadan iaitu penjejak zikir dan audio terjemahan al-Quran.
Muslim Pro menyediakan dua ciri baharu sempena bulan Ramadan iaitu penjejak zikir dan audio terjemahan al-Quran.
A
A
A

APLIKASI terkenal antarabangsa dengan jumlah hampir 100 juta pengguna, Muslim Pro menyediakan dua ciri baharu sempena bulan Ramadan iaitu penjejak zikir dan audio terjemahan al-Quran.

Pengguna Muslim Pro kini dapat menetapkan misi kiraan zikir setiap hari dan menjejaknya dalam fitur tasbih yang tersedia dalam aplikasi yang dibangunkan atas permintaan ramai pengguna.

Dengan rakaman audio yang disertakan, pengguna juga dapat mendengar dan mengikuti bacaan zikir.

Muslim Pro menggunakan teknologi bagi terus berinovasi dan meningkatkan kualiti aplikasi, sekali gus berkhidmat kepada ummah dengan lebih baik.

Untuk meningkatkan akses aplikasi kepada pengguna di pelbagai pasaran, Muslim Pro telah mengintegrasikan teknologi teks-ke-ucapan dalam fitur al-Quran yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Menariknya, audio terjemahan al-Quran akan dimainkan tepat selepas bacaan Arab bagi setiap ayat.

Pada masa ini, aplikasi Muslim Pro mempunyai sekitar 70 terjemahan dan beberapa bahasa mempunyai pelbagai versi terjemahan.

Teknologi teks-ke-ucapan adalah ciri tambahan untuk terjemahan al-Quran ini dan pengguna boleh mencari pilihan 'bacaan audio tersedia' di bawah terjemahan tertentu untuk mengetahui terjemahan yang mempunyai ciri bacaan audio yang baru.

Artikel Berkaitan:

Ketua Komuniti Muslim Pro, Zahariah Jupary berkata, Muslim Pro adalah untuk ummah dan untuk memberi inspirasi kepada individu serta memperkuatkan komuniti dan kesungguhan itulah mendorong mereka meningkatkan kualiti secara berterusan.

"Kami mahu ciri-ciri baru ini membantu dan mempermudahkan pelaksanaan amal ibadah komuniti kami, kerana audio terjemahan al-Quran akan membolehkan pengguna mendengar terjemahan al-Quran dalam mana-mana bahasa yang tersedia di aplikasi.

"Sementara penjejak zikir akan mendorong ummah ​​untuk meningkatkan ingatan kepada ALLAH walau di mana pun mereka berada," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zahariah menambah bahawa kedua-dua ciri baharu itu adalah sebahagian daripada janji Muslim Pro untuk sentiasa mengutamakan pengguna 'dalam semua yang mereka lakukan'.

"Kami akan selalu mendengar suara komuniti kami dan meningkatkan kualiti aplikasi untuk membantu Ummah dalam ibadah mereka," katanya.

Beliau berkata, ramai yang beralih kepada Muslim Pro ketika pandemik Covid-19.

"Kami melihat lonjakan besar dalam penggunaan aplikasi sepanjang waktu pandemik Covid-19, jadi kami tahu aplikasi kami membantu orang dalam amalan mereka," katanya.

Inovasi-inovasi terbaru melengkapkan senarai ciri lengkap aplikasi yang diperkenalkan oleh Muslim Pro selama bertahun-tahun untuk menyokong Ummah dalam menunaikan ibadah mereka.

Pada masa ini, aplikasi yang tersedia di Apple App Store (iOS), Google Play Store (Android) dan KaiOS, mempunyai ciri-ciri yang merangkumi: waktu solat yang tepat, azan, al-Quran dengan audio lengkap, panduan masjid dan restoran halal, kompas kiblat, kalendar Hijrah, pengiraan zakat, kata-kata inspirasi harian, penjejak puasa dan solat, perjalanan haji secara virtual, ayat al-Quran popular dan doa.

"Setiap hari, kami fokus untuk membina aplikasi mudah alih yang lebih baik, yang relevan dan berguna untuk Ummah. Ciri perjalanan haji secara virtual yang dilancarkan tahun lalu semasa musim haji amat berguna bagi umat Islam yang tidak dapat ke kota suci Mekah; ini sangat relevan sewaktu musim Covid-19 kali ini, ” kata Zahariah.

Zahariah berkata, selain kempen 'World Quran Month (WQM)' pada bulan Ramadan, Muslim Pro juga merancang Acara Membaca Al-Quran Sedunia untuk menyatukan umat Islam dalam mendorong antara satu sama lain untuk membaca al-Quran.