X

Kindly register in order to view this article
!

Kempen antirasuah dalam komuniti

Gambar kecil: Muhd Akmal Fawwaz
A
A

SHAH ALAM - Kempen antirasuah dalam komuniti perlu digerakkan dari masa ke masa bagi mewujudkan satu gerakan yang lebih berkesan supaya masyarakat membenci amalan yang mampu merosakkan negara itu.

Pengerusi Persatuan Pewaris Anak Kuala Kedah (Pekaka), Muhd Akmal Fawwaz Muhamad Ali berkata, program kesedaran perangi rasuah perlu dilakukan oleh semua pihak dan bukannya terletak di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.

Menurutnya, sebuah gelombang antirasuah perlu diwujudkan dalam komuniti, sekali gus memupuk budaya ketelusan serta integriti.

“Hari ini sudah ada kempen-kempen seumpama itu namun perlu diperhebatkan lagi dalam masyarakat khususnya. Semua orang harus mempunyai kesedaran ini termasuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa seperti SPRM.

“Semua orang perlu memainkan peranan ini terutamanya komuniti setempat. Apabila wujud gelombang yang besar daripada rakyat terhadap amalan rasuah maka dengan sendirinya ia mampu dicegah selain budaya itu juga turut dilarang agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhd Akmal Fawwaz berkata, golongan muda juga perlu diterapkan dengan budaya memerangi rasuah sejak mereka berada di bangku sekolah lagi terutamanya berhubung nilai moral, etika dan juga integriti.

“Selain memberikan tumpuan kepada komuniti, golongan muda juga tidak boleh dilupakan. “Golongan inilah yang akan membentuk kepimpinan masa hadapan dan sangat penting untuk kita terapkan perkara ini sejak mereka kecil lagi,” katanya.

Menurutnya, kempen Rasuah Busters yang dilancarkan sebelum ini juga harus disambut baik oleh semua pihak dan pemimpin juga perlu sama-sama membantu untuk memerangi gejala rasuah.

“Kerjasama erat antara SPRM, pemimpin, komuniti termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sendiri juga perlu diperkemaskan. Kerjasama seumpama ini jika mampu dilaksanakan ia mampu membentuk gelombang masyarakat yang kuat dan anti kepada budaya rasuah.

“Kerajaan juga mungkin boleh menambahbaik lagi penguatkuasaan undang-undang sebagai satu langkah tegas dan bukti bahawa rasuah adalah ancaman yang sangat bahaya kepada negara dan perlu dibendung segera,” katanya lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!