X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pekerja maut van kilang dihempap struktur jejambat runtuh

Anggota Bomba dan Penyelamat dilihat membawa mangsa yang dipercayai cedera parah akibat dihempap sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak yang runtuh pada Rabu. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pekerja kilang wanita maut apabila van dinaiki mereka dihempap perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, tiga lagi mangsa terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dilaporkan selamat dan dirawat di Hospital Universiti Kuala Lumpur (HUKM) dekat sini untuk rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, semua mangsa merupakan rakyat tempatan dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Mangsa pertama iaitu pemandu van dibawa keluar pada jam 8.55 malam manakala penumpang dibawa keluar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur pada jam 9.15 malam sehingga 9.27 malam.

"Berdasarkan laporan awal semua mangsa dianggarkan berusia antara 30 hingga 45 tahun," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.

Zulkefly berkata, pemandu treler yang dilaporkan melanggar struktur besi berkenaan juga sudah membuat laporan polis dan kini berada di Balai Polis Sungai Besi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati treler terbabit tidak membawa muatan berlebihan, malah treler itu turut dikawal oleh kenderaan perondanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya masih mengambil langkah berjaga-jaga kemungkinan runtuhan kedua berlaku.

"Ketika operasi tadi, tiga kren terpaksa digunakan untuk mengangkat struktur yang menimpa van sebelum semua mangsa dikeluarkan," katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5.58 petang.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Bandar Tun Razak dan BBP Cheras dikejarkan ke lokasi kejadian.

Kejadian runtuhan di projek pembinaan SUKE melibatkan sebuah lori trailer yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) menerusi kenyataan memaklumkan, lori trailer tersebut tidak terlibat dalam pembinaan Lebuhraya SUKE.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!