Zulkifli sambut baik ketetapan wajib vaksin pada jemaah haji

Zulkifli Mohamad Al Bakri - Foto Bernama
Zulkifli Mohamad Al Bakri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menyambut baik ketetapan kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan vaksin Covid-19 ke atas bakal jemaah haji tahun ini.

Beliau berkata, usaha itu menzahirkan komitmen Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam memastikan kesihatan jemaah haji serta kelancaran ibadah haji pada tahun ini berada dalam keadaan baik.

“Bagi urusan vaksinasi bakal jemaah haji Malaysia, saya masih menunggu maklum balas daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Shaikh Dr Mohammed Saleh Tahir Benten berkenaan jumlah kuota jemaah haji daripada Malaysia yang dibenarkan pada tahun ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi ini juga mengambil maklum berkenaan keperluan bakal jemaah haji Malaysia untuk mengambil vaksin Covid-19 sebelum menunaikan ibadah haji pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zulkifli berkata, komunikasi dengan kerajaan Arab Saudi melalui Mohammed Saleh sentiasa dilakukan bagi memastikan sebarang keputusan yang bakal ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi membawa kebaikan bersama khususnya kepada bakal jemaah haji Malaysia.

“Saya menyeru umat Islam di Malaysia untuk berdoa kepada ALLAH SWT agar wabak Covid-19 beransur pulih dan seterusnya membolehkan ibadah haji dijalankan dengan lebih lancar pada tahun ini," katanya.

Pada Rabu, kerajaan Arab Saudi menetapkan peraturan yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 kepada jemaah yang mahu menunaikan haji pada tahun ini.

Menurut agensi Reuters, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata, ia merupakan antara peraturan utama yang ditetapkan kepada jemaah bagi mencegah penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi wajibkan pengambilan vaksin kepada jemaah haji