X

Kindly register in order to view this article
!

Masih ada bom lama tertanam dalam kawasan kebun

Bom lama dipercayai digugurkan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bentong, Kluang, pada Isnin.
A
A

KLUANG - Satu bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua yang ditemukan seorang pekerja di kawasan kebun kelapa sawit, Kampung Bentong Dalam di sini dimusnahkan polis pada Selasa.

Pemusnahan bom itu dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Johor bersama Sub Unit UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di kawasan itu pada jam 12 tengah hari dengan menggunakan teknik High order melalui kaedah elektrik.

Polis Johor dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bom jenis Artillery meriam 85 milimeter (mm) itu ditemui pekerja ketika semasa sedang menjalankan kerja-kerja membersihkan kebun pada 1 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Kampung Bentong, Zailan Kadir, 62, berkata, pekerja terbabit menemui bom ketika sedang melakukan kerja-kerja menabur baja.

"Bom itu timbul dipercayai selepas banjir besar yang melanda kampung ini Januari lalu. Pada mulanya pekerja kebun itu menyangkakan besi lama yang berkarat tetapi apabila diteliti bentuknya seakan bom.

"Sangkaan itu memang benar apabila polis datang membuat siasatan. Ini kerana sudah beberapa kali bom lama ditemui di kawasan kebun sawit itu yang dimiliki penduduk kampung bersebelahan satu kem tentera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau mendakwa, sejak tanah di kawasan kebun sawit itu diteroka pada awal 1986 sudah beratus bom lama yang dipercayai digugurkan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua ditemui.

Unit pemusnah bom mengukur sebutir bom lama dipercayai digugurkan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bentong, Kluang, pada Isnin.
Unit pemusnah bom mengukur sebutir bom lama dipercayai digugurkan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bentong, Kluang, pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku kerana semua bom yang ditemukan itu dilaporkan kepada pihak polis sebelum dimusnahkan.

"Mengikut cerita, tentera Jepun menggugurkan banyak bom semasa Perang Dunia Kedua bagi memusnahkan kawasan lapangan terbang dalam kawasan kem tentera itu yang wujud dan masih beroperasi sehingga kini.

"Dimaklumkan banyak bom yang digugurkan itu tidak meletup, sebahagiannya sudah dijumpai dan dimusnahkan manakala sebahagiannya masih tertanam dalam tanah. Bom lama itu masih tertanam dan tidak meletup kerana tanah di kawasan ini tanah gambut," katanya.

Zailan memberitahu, disebabkan tanah gambut yang lembut biasanya bom lama yang ditemukan sebelum ini tertanam antara satu hingga dua meter sementara jarak antara kawasan kebun sawit itu dengan Kampung Bentong hampir satu kilometer.

Beliau berharap, pihak berkuasa akan melakukan pengesanan bom lama di kawasan itu dengan menggunakan teknologi terkini sebelum memusnahkannya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bentong, Kluang,di mana bom berkenaan ditemui.
Kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bentong, Kluang,di mana bom berkenaan ditemui.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!