Pas selesai serah dokumen, kenyataan akaun bank ke SPRM

Hadi
Hadi
A
A
A

MARANG - Pas selesai menyerahkan segala dokumen termasuk kenyataan akaun bank parti itu untuk disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata, pihaknya kini hanya menunggu hasil siasatan SPRM selepas menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa berkenaan termasuk rakaman audio dikatakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“SPRM sudah berjumpa dengan Nik Mohamad Abduh dan Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan dan kita dah beri segala kenyataan perlu yang diminta.

“Saya dimaklumkan, rakaman audio itu tak berkait dengan dana RM90 juta itu. Apa lagi tuduhan Pas terima RM90 juta daripada Umno dan 1MDB.

“Kita sudah beri kerjasama sepenuhnya dan kita tunggulah apa keputusannya,” katanya di Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, malam tadi.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, rakaman audio itu lebih kepada perbincangan akademik mengenai bantuan dan sumbangan yang mahu diterima Pas terutama pada musim PRU14.

“Saya tak dengar rakaman itu tetapi saya dimaklumkan ia lebih kepada perbincangan akademik, perbincangan daripada segi ilmu (mengenai) boleh atau tidak kita terima bantuan orang ini, bantuan orang itu.

“Macam orang berniagalah. Orang datang beli di kedai dia, tak wajib dia tanya mana awak ambil duit nak beli barang saya. Apabila orang beli barang kita berilah.

Artikel Berkaitan:

“Kita Pas ini, kita beri nombor akaun. Siapa-siapa boleh masuk derma dan banyak orang derma termasuklah ketika PRU14 lalu, termasuk orang Cina, bukan Islam datang menderma.

“Jadi kita tak tanya apa parti politik dia (penyumbang). Pas dapat sumbangan daripada orang ramai dan kita beri segala kenyataan, termasuk derma RM10, RM5. Kita beri semua kenyataan itu untuk siasat,” katanya.

Ditanya mengenai Nik Mohamad Abduh yang sebelum ini menafikan rakaman audio itu adalah suaranya, Hadi berkata, ia terpulang pada Nik Mohamad Abduh yang lebih memahami jawapan diberikannya.

Tahun lalu, Nik Abduh dikaitkan dengan rakaman audio yang didakwa suara Ahli Parlimen Bachok itu, tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada Umno.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan berkenaan dan menganggap sebagai fitnah.

Nik Mohamad Abduh antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin Pas yang didakwa menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB, memberi keterangan kepada SPRM, Jumaat lalu.

Abdul Hadi seterusnya mengulangi gesaannya sebelum ini supaya SPRM turut menyiasat sumber dana pembiayaan parti politik lain terutama DAP, Amanah dan PKR.

“Kita minta supaya siasat DAP. Siasat Amanah, PKR, dari mana mereka dapat duit, jangan siasat Pas saja. Saya dimaklumkan Pemuda Pas dah buat laporan polis mengenai dana pembiayaan DAP dan Amanah dan kita harap SPRM akan siasat,” katanya.