Dedak jadi punca

Penternak lembu meramalkan harga daging meningkat sehingga RM35 hingga RM40 sekilogram berbanding pada harga semasa iaitu RM28 hingga RM30 sekilogram.
Penternak lembu meramalkan harga daging meningkat sehingga RM35 hingga RM40 sekilogram berbanding pada harga semasa iaitu RM28 hingga RM30 sekilogram.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai penternak lembu dan kambing di Malaysia bimbang dengan kenaikan harga dedak sehingga lebih enam kali sejak lebih setahun lalu.

Keadaan tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan harga daging tempatan meningkat menjelang sambutan Ramadan dan Aidilftiri nanti.

Beberapa penternak lembu meramalkan harga daging segar meningkat sehingga RM35 hingga RM40 sekilogram berbanding harga semasa sekarang antara RM28 hingga RM30 sekilogram.

Seorang penternak dari Pasir Mas, Kelantan, Abu Hassan Mat berkata, harga dedak untuk makanan lembu disifatkan cekik darah apabila naik sekitar RM2 hingga RM3 selang beberapa minggu.

“Jika sebelum ini untuk sekampit dedak lembu seberat 50 kilogram (kg), harga di pasaran sekitar RM50.

“Namun sejak Januari lalu, harganya sudah beberapa kali naik dan sehingga kini mencecah RM57 sekampit.

“Ramai pengusaha ternakan lembu dan kambing mengalami tekanan. Bayangkan kalau bela 100 ekor lembu, kenaikan demi kenaikan ini akan meningkatkan kos penternakan.

“Harapan kami agar harga dedak kembali pulih dan dijual pada harga semasa seperti sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peningkatan harga dedak menyebabkan ramai penternak mengeluh, malah menurut Abu Hassan lagi, sehingga kini tiada tindakan proaktif daripada pihak berkuasa.

“Buat masa ini, harga semasa bagi seekor lembu daging ialah RM3,200 hingga RM3,500 seekor tetapi harganya akan terus meningkat sehingga RM5,000 seekor pada musim perayaan bergantung kepada saiz dan baka.

“Kalau lembu jenis Sado mungkin nilainya lebih tinggi. Lembu jenis ini ada yang boleh mencecah RM20,000 kerana bakanya lebih besar dan banyak daging,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa penternak berkongsi pengumuman yang dibuat oleh syarikat pengeluar dan pengedar dedak mengenai kenaikan harga makanan haiwan ruminan tersebut pada November tahun lalu dan terbaru Isnin lepas.

Penternak kambing baka dari Teluk Panglima Garang, Selangor, Zainal Mohd Jais berkata, isu kenaikan harga dedak yang naik tiga kali tahun ini memerlukan campur tangan pihak kerajaan.

“Harga dedak kerap naik dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini. Seingat saya sudah tiga kali.

“Setiap kali kenaikan sekitar RM1 hingga RM2.

“Dulu harga satu beg dedak seberat 50kg kira-kira RM53, kini dedak untuk kambing mencecah RM60 hingga RM80,” kata Zainal.

Tegas Zainal, sektor penternakan adalah sektor kritikal untuk bekalan makanan negara dan kerajaan perlu menghulurkan bantuan segera menerusi pemberian subsidi sumber bahan mentah dedak dan subsidi kepada penternak.

“Sehingga hari ini, tiada kawalan bagi menangani isu kenaikan harga dedak. Ia sudah sampai ke tahap amat membebankan. Ramai penternak tidak mampu bertahan sekiranya masalah ini berterusan,” akuinya.

Gesa campur tangan kerajaan

Pengerusi Koperasi Grup Transformasi Ruminan (GTR) Berhad, Nordin Mat menggesa supaya kerajaan campur tangan dalam isu harga dedak ruminan yang makin mencengkam penternak.

Menurut Nordin, kenaikan harga dedak berkenaan disebabkan bekalan bahan asas dalam dedak iaitu kacang soya dan jagung terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan perlu membantu kami untuk stabilkan harga dedak supaya rantaian kenaikan harga ini tidak sampai menjejaskan pengguna nanti,” kata beliau.

Pandangan yang sama turut diketengahkan oleh Pengerusi Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor, Samad Kassim, yang menjelaskan harga semasa dedak dan ternakan lain juga meningkat dan terkesan sejak kebelakangan ini.

Samad Kassim
Samad Kassim

“Ada juga penternak yang terpaksa mencampur dedak mahal dengan dedak yang kualitinya lebih murah bagi kelangsungan operasi mereka, memandangkan itu sahaja pilihan mereka buat masa ini.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu dalam usaha membantu golongan penternak di Malaysia supaya dapat menyelamatkan potensi penternak lembu dan kambing.

“Jika tidak, harga daging lembu akan terus melambung,” katanya.

Untuk rekod, Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) di bawah tajuk Mengembangkan Industri Ternakan menjangkakan permintaan daging meningkat daripada 1.4 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 1.8 juta tan metrik pada tahun 2020 dengan pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus setahun.

Pengeluaran daging pula diunjur meningkat daripada 1.6 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 2.1 juta tan metrik pada tahun 2020 dengan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus setahun.