X

Kindly register in order to view this article
!

Kebenaran rentas daerah buka peluang orang melancong

Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan para pemandu ketika menjalankan sekatan jalan raya dalam tempoh PKP 2.0 di Plaza Tol Gombak hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kebenaran rentas daerah akan membuka ruang dan peluang untuk orang ramai melancong serta menjamin kelangsungan hidup pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan selain operasi perniagaan dapat dijalankan sepenuhnya, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyambut baik keputusan kerajaan yang memberi kebenaran rentas daerah di dalam negeri yang sama kecuali Sabah bermula 5 Mac ini.

Katanya, keputusan itu merupakan berita yang amat memotivasikan penggiat industRi pelancongan, seni dan budaya yang selama ini meluahkan kebimbangan jika sekatan terhadap pergerakan rentas daerah serta negeri masih diteruskan.

Nancy berkata, MOTAC telah mengadakan empat sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada penggiat industri yang rata-ratanya mahukan kerajaan membenarkan semula pergerakan atau perjalanan rentas daerah atau negeri.

"Hargai keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan larangan pergerakan merentas negeri di seluruh negara ketika ini dikekalkan, manakala pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali di Sabah berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini.

Larangan merentas daerah di Sabah dilakukan atas permintaan kerajaan negeri.

Nancy juga berkata, satu sesi libat urus diadakan pada Selasa bersama penggiat industri iaitu Malaysian Association of Amusement Theme Park & Family Attractions (MAATFA), Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Malaysia Retailers Association (MRA) dan Batu Road Retailers Association (BARRA).

Beliau berkata, dalam sesi libat urus itu, kerajaan disaran mengeluarkan dokumen atau pasport khas kepada warga Malaysia yang telah menerima vaksin untuk memudahkan pergerakan dalam negeri dan menjalankan aktiviti sosial termasuk melancong dengan selamat.

Katanya, penggiat industri juga mencadangkan keutamaan pemberian vaksin kepada penggiat sektor pelancongan kerana mereka juga adalah petugas barisan hadapan yang setiap hari menerima kunjungan tetamu dan pelanggan di premis masing-masing.

Turut diutarakan satu pelan jangka panjang pembukaan sempadan antarabangsa agar kementerian boleh mengenal pasti kumpulan sasaran dari pasaran antarabangsa yang boleh dibenarkan untuk tujuan percutian di negara ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!