Wanita kudung kaki nafi ditinggalkan anak

Sharil (berdiri di kiri) bersama kakitangannya bertanya khabar kepada wanita itu yang ditempatkan di Pusat Jagaan Orang Tua Selangor SRA di sini pada Selasa.
Sharil (berdiri di kiri) bersama kakitangannya bertanya khabar kepada wanita itu yang ditempatkan di Pusat Jagaan Orang Tua Selangor SRA di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang wanita yang kudung kaki kanannya menafikan dakwaan dia ditinggalkan anak lelakinya bersendirian dengan kerusi roda di tepi jalan di Jalan Kebun Shah Alam pada 20 Februari lalu.

Menurut warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 60, (bukan nama sebenar) itu berkata, dakwaan itu tidak benar kerana anak tunggalnya yang berusia 30-an tidak mengetahui dia berada di tepi jalan terbabit.

Fatimah berkata, dia dibawa kenalannya kira-kira jam 2 petang ke lokasi terbabit dan kemudian ditinggalkan di situ.

"Anak saya tidak bersalah dalam hal ini. Tolonglah jangan membuat pelbagai tuduhan tidak benar hingga menyinggung perasaannya.

"Sejujurnya saya ditinggalkan kenalan di situ dan saya bersyukur kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS) segera membantu," katanya kepada Sinar Harian di Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA) di sini pada Selasa.

Menurut Fatimah, kaki kanannya terpaksa dipotong pada Oktober tahun lalu kerana menghidap kencing manis.

"Hendak kata anak tidak sanggup jaga saya mustahil sebab sebelum ini dialah yang banyak menguruskan saya. Saya telah maklumkan padanya (anak) untuk tinggal di pusat ini dan dia sedih dengan keputusan saya

"Setiap hari air mata saya mengalir kerana merindui anak tapi saya tidak mahu menyusahkannya lebih-lebih lagi dalam keadaan kaki yang tak sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, LZS tampil membantu seorang wanita berkerusi roda yang ditinggalkan sendirian di tepi jalan dipercayai ditinggalkan oleh anaknya.

Menerusi kenyataan di Twitter LZS pada Isnin, bantuan itu dihulurkan susulan mendapat aduan daripada orang awam yang menjumpai wanita berkenaan.

Sementara itu, Pengasas Pusat Jagaan Orang Tua Selangor SRA, Sharil Hussein berkata, pihaknya menguruskan wanita itu selepas dihubungi LZS yang meminta pihaknya memberikan perlindungan kepada wanita terbabit.

Katanya, pengambilan wanita itu yang ditempatkan di Hospital Shah Alam selesai sepenuhnya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.

"Hospital Shah Alam memberikan kerjasama baik dalam usaha mendapatkan data mengenai kesihatan wanita terbabit.

"Alhamdulilah, wanita ini kemudian dibenarkan keluar daripada hospital dan kami membawanya ke pusat ini pada jam 11.15 pagi semalam," katanya.

Sharil berkata, semua kos perjalanan dan pengurusan wanita itu ditanggung sepenuhnya LZS.

"Kami mengambil tanggungjawab untuk menguruskan wanita ini dan sekiranya anaknya ingin menziarahi ibunya, dia bolehlah datang melawat pada bila-bila masa sahaja.

"Setakat ini seramai 34 penghuni menetap di pusat ini dan mendapat bantuan sebanyak RM800 sebulan daripada LZS," katanya.

"Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah tersebut masih tidak mencukupi memandangkan pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM1,800 bagi seorang penghuni pada setiap bulan.

Di samping itu, katanya, pihaknya juga perlu menyediakan kos operasi dan gaji tenaga kerja yang menelan belanja kira-kira RM75,000 sebulan

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank atas nama Pusat Jagaan Warga Tua SRA (04200053152) atau menghubunginya di talian 019-8791926 atau 019-6671926.