Isu Jalan Temiang - Jalan Dr Chen Man Hin

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika merasmikan Majlis Pelancaran Nama Baharu Bagi Jalan Temiang Kepada Jalan Dr Chen Man Hin, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika merasmikan Majlis Pelancaran Nama Baharu Bagi Jalan Temiang Kepada Jalan Dr Chen Man Hin, baru-baru ini.
A
A
A

1. Agenda perkauman sentiasa menjadi makanan yang enak demi mencapai sokongan kuasa politik. Apabila timbul isu penukaran nama daripada Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, mereka muncul membantah dengan harapan memperolehi sokongan dari isu perkauman.

2. Mereka katakan ini satu penindasan kepada orang Melayu, mereka menyerang isu Jalan Dr Chen ini umpama anak seluang melahap dadih di sungai tanpa mereka sedar betapa banyaknya nama jalan berbangsa lain di seluruh negara.

3. Bila kita persoal nama jalan lain berbangsa Cina atau pun India, mereka kata itu semua pemimpin yang telah berjasa kepada negara ataupun negeri sekurangnya. Adakah mereka kenal siapa Dr Chen Man Hin?

4. Mending Dr Chen Man Hin seorang pemimpin yang sangat berjasa kepada bukan hanya kaum Cina di Seremban tetapi berjasa kepada semua bangsa. Beliau terkenal sebagai doktor yang amat prihatin. Jika pesakit daripada golongan miskin, beliau boleh memberikan rawatan secara percuma.

5. Beliau pernah menjadi doktor di Hospital Besar Seremban dan kemudian membuka kliniknya sendiri di tengah bandar Seremban.

6. Jika berjasa itu maksudnya perlu jadi wakil rakyat sepertimana nama jalan lain juga terdiri daripada nama pemimpin politik, mendiang Dr Chen juga pernah menjadi ADUN Rahang selama 17 tahun, Ahli Parlimen Seremban selama hampir 20 tahun dan beberapa tahun sebagai senator Dewan Rakyat. Apakah jasa sebagai wakil rakyat ini masih tidak mencukupi?

7. Adakah kerana mendiang Dr Chen dari parti DAP dan mereka sakit hati? Itu bermakna mereka hanya mempolitikkan isu kerana tiada justifikasi atau alasan yang jelas mengapa mereka membantah nama Jalan Dr Chen Man Hin.

8. Dari sudut demografi, jalan tersebut yang sepanjang 7.9 kilometer telah didiami oleh majoriti bangsa Cina. Justeru itu pemilihan jalan Temiang untuk diganti nama Jalan Dr Chen Man Hin adalah bersesuaian dengan demografi penduduk.

9. Mereka yang sakit hati ini tidak pula membangkitkan nama baru Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza, sempena nama bekas Mufti Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Menteri Besar baru-baru ini. Fokus mereka ialah permainan kaum, cukup-cukuplah mencetus semangat api perkauman, negara ini dambakan kestabilan dan keamanan.

10. Apalah yang ruginya bangsa Melayu dengan penamaan Jalan Dr Chen Man Hin? Kita sebenarnya tidak rugi, malah sikap toleransi ini akan lebih dihormati oleh bangsa lain.

*Edy Noor Reduan ialah Penerangan Keadilan Negeri Sembilan