SPR buat rayuan tapi bukan batal keputusan

Datuk Seri Mohamad Hasan - Foto Bernama
Datuk Seri Mohamad Hasan - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia memaklumkan akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU14 lalu.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti penghakiman lisan kes tersebut.

“Kita juga mengambil kira nasihat peguam khususnya mengenai kesan beberapa dapatan fakta dan undang-undang.

“SPR ingin menjelaskan bahawa rayuan yang dibuat adalah berdasarkan dapatan fakta terhadap SPR dan para petugas, tidak melibatkan pembatalan keputusan pilihan raya Dun Rantau semasa PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Azhar dilaporkan berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau hanya akan diadakan jika tiada rayuan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas sebagai batal dan tidak sah.

Sementara Mohamad Hasan berkata masih berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen itu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen Dun Rantau: Tok Mat masih bincang ]

Pada 16 November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban memutuskan bahawa kemenangan Mohamad tidak sah dan terbatal.

Hakim, Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.
Artikel Berkaitan:


Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi Dun Rantau selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK Dun itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.