Ancaman bom: Polis kesan individu buat panggilan palsu

PDRM
PDRM
A
A
A
SEREMBAN - Polis kini sedang giat mengesan individu yang membuat panggilan ancaman bom untuk mencetuskan panik di Hospital Pakar KPJ Seremban di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, selepas menerima maklumat itu dari pihak hospital pukul 4.50 petang semalam, polis bergegas ke lokasi dan telah mengarahkan bangunan itu dikosongkan untuk tujuan pemeriksaan rapi.

"Panggilan itu dibuat oleh seorang lelaki yang mendakwa terdapat bom di dalam bangunan berkenaan, bagaimanapun selepas pemeriksaan dilakukan, polis tidak menemui sebarang objek meragukan.

“Kita masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang membuat panggilan palsu ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.
Artikel Berkaitan:


Semalam, Hospital KPJ Seremban gempar selepas menerima panggilan ancaman bom berikutan itu seramai 117 pesakit dan 50 kakitangan hospital terlibat diarahkan mengosongkan bangunan.

Pemeriksaan selama dua jam oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Unit Anjing Pengesan di bangunan lapan tingkat itu mendapati tiada sebarang objek meragukan ditemui. - Bernama