[DIKEMASKINI] 31 polis bersekongkol dengan Addy Kanna bakal diambil tindakan

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Semua 31 pegawai dan anggota polis yang dikenal pasti terlibat dalam sindiket penipuan Macau Scam dan perjudian dalam talian membabitkan Addy Kanna bakal berdepan hukuman berat termasuk dibuang kerja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, di bawah bidang kuasa SPP, kesemua anggota yang terlibat itu boleh dikenakan tindakan tegas seperti ditamatkan perkhidmatan atau diturunkan pangkat.

"Kesalahan itu dianggap sesuatu yang amat serius atas kepentingan orang ramai. Bukan calang-calang saya sebagai Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan.

"Jadi saya membawanya ke peringkat atasan supaya ia dapat diadili sebaiknya dan seadil-adilnya.

"Apabila perkara ini diangkat ke atas kemungkinan hukuman dikenakan kepada mereka adalah buang kerja, turun pangkat atau lain-lain termasuk potongan gaji, tetapi dua hukuman yang utama pastinya dibuang kerja atau diturunkan pangkat...itu kuasa yang ada pada SPP," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1 2020 di lapang sasar utama Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Malaysia, Profesor Dr Juli Edo.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat deputi komisioner disiasat bagi kes penipuan Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kanna.

Semua individu itu disiasat secara menyeluruh terutama berhubung pemilikan nilai aset luar biasa berbanding jawatan dan gaji.

Siasatan itu turut melibatkan seorang pegawai berpangkat inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan berjumlah RM1 juta.