X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin berkonsep hibrid

Saifuddin Abdullah (tengah) hadir menyaksikan raptai Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin esok bersempena genap setahun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui kerajaan Malaysia akan mengetengahkan konsep hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal dan maya.

Perjalanan majlis akan berlangsung serba ringkas dengan tumpuan utama ialah amanat oleh Muhyiddin sendiri, serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengawal penularan pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kali pertama amanat dibuat dalam bentuk hibrid. Ini adalah seperti kad laporan perdana menteri sambil juga menyampaikan arah tuju selepas ini.

Menurut Saifuddin, seramai 250 orang hadir secara fizikal di Putrajaya melibatkan anggota kabinet, pegawai kanan kerajaan persekutuan, wakil syarikat berkaitan kerajaan, korporat dan masyarakat sivil manakala 98 orang menyertai secara telesidang iaitu menteri besar, ketua menteri serta jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Paling penting ini untuk menunjukkan kerajaan (yang dipimpin Muhyiddin) yang fungsian, prihatin dan berjaya, walaupun belum sempurna tetapi berjaya dalam mengimbangkan antara life (keselamatan nyawa) and livelihood (mata pencarian). Ini adalah mesej utama yang hendak disampaikan," katanya.

Majlis akan dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Putra Ustaz Ikmal Zaidi Hashim Al-Hafiz, disusuli tayangan montaj istimewa yang memaparkan inisiatif kerajaan serta bantuan yang diberi kepada rakyat dan pencapaian dalam tempoh setahun lepas.

Selepas itu, perdana menteri akan menyampaikan amanatnya dan diakhiri dengan sesi bergambar.

Antara usaha yang signifikan yang telah dilakukan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang diumumkan pada 27 Mac 2020 dengan tiga matlamat, iaitu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi.

Pada tahun ini pula, kerajaan melancarkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion yang diumumkan pada 18 Jan lalu.

Inisiatif yang paling dekat dengan hati rakyat Malaysia ialah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disediakan kerajaan melalui pakej PRIHATIN yang diberikan kepada kumpulan sasaran meliputi golongan B40, M40 dan bujang bagi membantu rakyat dalam perbelanjaan keperluan harian.

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua' yang bermula pada 24 Feb lalu dalam tiga fasa pula bertujuan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin Covid-19 menjelang Februari 2022.

Fasa 1 digerakkan dari Februari hingga April untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang, Fasa 2 bermula April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Fasa 3 pula bermula dari Mei hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Muhyiddin merupakan individu pertama di negara ini menjalani proses vaksinasi yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas barisan hadapan pada 24 Feb lepas yang menandakan bermulanya program imunisasi itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!