Ahmad Danial sering mimpi arwah datuk, kata ibu

Nur Syafariena Fazuera Ishak
Nur Syafariena Fazuera Ishak
A
A
A

JOHOR BAHRU - Putra Ahmad Danial Abdullah, 9, sering termimpi-mimpikan Allahyarham datuknya sejak seminggu lalu sebelum dia ditemukan lemas di Sungai Skudai di sini pada malam Sabtu.

Ibunya, Nur Syafariena Fazuera Ishak, 28, berkata, anak sulungnya itu yang mesra dengan panggilan Bulat sangat rapat dengan Allahyarham bapanya yang baharu meninggal dunia pada Selasa lalu.

"Minggu lepas, saya kehilangan ayah akibat penyakit kronik, hari ini (Ahad) saya kehilangan anak pula. Perasaan sedih itu tidak boleh digambarkan tetapi saya reda dengan ujian ALLAH SWT.

"Sepanjang minggu ini, Bulat sering cerita termimpikan arwah atuk yang memanggilnya. Bulat memang rapat sangat dengan arwah ayah saya kerana hanya insan itu yang benar-benar menyayanginya dari kecil lagi.

"Saya tidak menyangka mimpi itu memberi erti Bulat akan meninggalkan diri saya buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di bilik mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak lemas mandi sungai, seorang lagi hilang

Dalam kejadian pada jam 6.17 petang Sabtu, Ahmad Danial dan seorang rakannya, Osmond Chan Wu Ye, 8, mandi di Sungai Skudai sebelum kedua-duanya lemas dan kejadian itu disedari seorang lelaki yang sedang menjala ikan di bawah jambatan berdekatan.

Ahmad Danial ditemukan mayatnya pada jam 8.58 malam pada jarak 14 meter dari tempat lemas, manakala mangsa kedua ditemukan mayatnya pada jam 12.10 tengah malam kira-kira tujuh meter dari tempat lemas.

Artikel Berkaitan:

Nur Syafariena tidak sangka anaknya akan berjalan kaki dan bermain sejauh lebih satu kilometer ke Sungai Skudai kerana biasanya Bulat bermain di sekitar tempat tinggal mereka di Kampung Baru Skudai.

"Sekitar jam 5 petang ketika saya menjaga anak perempuan berusia dua tahun masih kedengaran suaranya bermain dengan rakan yang merupakan kawan baharu Bulat selepas berpindah dari Senai bulan lalu. Saya sendiri tidak tahu terdapat sungai di kawasan ini," katanya.

Sebelum ini, dia pernah berpesan kepada Bulat supaya bermain puas-puas sebelum sesi persekolahan bermula pada Isnin dan perlu bersungguh-sungguh beri tumpuan kepada pembelajaran di sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat seorang lagi kanak-kanak lemas ditemukan

"Sebelum ini, dia ada juga bertanya, kalau Bulat meninggal dunia, ibu akan ikut Bulat sekali tak? Dia budak-budak lagi, jadi saya pujuk dia, mesti ibu ikut sebab ibu sayang Bulat," katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, bapa tirinya, Mohd Hamdan Baharuddin, 36, segera mencari Bulat sebaik mendapat tahu anak tirinya tidak ada di sekitar kawasan rumah mereka, namun gagal menemui mangsa.

"Sebaik dimaklumkan polis terdapat dua kanak-kanak lemas di Sungai Skudai, saya terus bergegas ke lokasi dan sangat sedih melihat jasadnya," katanya.