Amanah Bukit Bintang gesa kaji semula kerjasama dengan PKR

Kenyataan bersama yang dikeluarkan pemimpin tertinggi Amanah Bukit Bintang pada Ahad.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan pemimpin tertinggi Amanah Bukit Bintang pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) Bukit Bintang menggesa pimpinan parti di peringkat nasional mengkaji semula hubungan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menerusi satu kenyataan bersama pada Ahad, pimpinan tertinggi Amanah Bukit Bintang turut menggesa pemimpin nasional mengkaji semula kedudukan parti tersebut dalam Pakatan Harapan (PH) selepas menerima kemasukan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah di Johor dan dua ADUN di Selangor yang bertindak melompat parti.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh pemimpin Amanah Bukit Bintang termasuk Ketuanya, Ahmad Asri Talib; Timbalan Ketua, Ahmad Thaari Abdul Rahim; Ketua Pemuda, Sheikh Khuzaifah; Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Sharifah Juanie, Ketua Warda Amanah, Fatihah Salahuddin dan Ketua Arif Amanah, Ismail Othman.

Menurut mereka, senario yang berlaku mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setiakawan antara parti dalam PH.

"Kami menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyesali tindakan parti rakan PH yang menerima ADUN yang melompat arti.

"Tindakan ini melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk," katanya menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook rasmi Amanah Bukit Bintang pada Ahad.

Kenyataan itu turut menyebut, strategi politik parti-parti dalam PH sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas caca-marba pengurusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang masih tiada keabsahan.

"(Sepatutnya) bukannya menzalimi sesama rakan parti dalam pakatan ketika persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika parlimen dibubarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, berdasarkan Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International yang melibatkan seramai 20,000 orang responden di 17 negara di rantau Asia, hampir sepertiga daripada responden mempunyai persepsi negatif iaitu ahli parlimen adalah mereka yang terlibat gejala rasuah.

Sehubungan itu, mereka turut berharap dan menyarankan akta anti lompat parti dikaji dan diperhalusi bagi mengekang amalan lompat parti daripada terus menjadi barah proses demokrasi di Malaysia.

Sinar Harian melaporkan tindakan PKR menerima kemasukan beberapa ADUN daripada Amanah menimbulkan rasa tidak senang kepimpinan parti yang berteraskan Islam itu.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan kedua-dua parti itu berada di bawah gabungan politik yang sama iaitu PH.

Beliau berkata demikian mengulas penyertaan tiga ADUN Amanah di Johor yang disahkan menyertai PKR.

Tiga ADUN tersebut ialah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhammad Said Jonit (Mahkota).