X

Kindly register in order to view this article
!

Terkejut dikaitkan dengan pondok asnaf tanpa keperluan asas

Rumah pondok sementara tanpa keperluan asas untuk seorang warga emas di Batu 16, Padang Lumat, Jerai yang tular di laman sosial Facebook. Gambar kecil: Sabri Azit
A
A

JERAI - Sebuah rumah pondok sementara untuk asnaf yang dibina tanpa kemudahan asas sehingga tular di laman sosial Facebook bukanlah di bawah kelolaan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, beliau terkejut apabila namanya dikaitkan dengan pembinaan rumah pondok untuk asnaf dikenali sebagai Ismail London di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pembinaan rumah pondok untuk lelaki warga emas itu sebenarnya dibina pengurusan Masjid Ubudiah Batu 16.

"Pihak masjid membina pondok berkenaan untuk kegunaan seorang asnaf atas keprihatinan mereka terhadap warga emas itu yang mendiami sebuah rumah tinggal usang dan bersemak samun sebelum ini.

"Saya tidak tahu menahu tentang perkara ini dan hanya menerima jemputan untuk menyerahkan kunci kepada pemilik rumah pondok, sekali gus tidak menyangka akan dikaitkan seumpama itu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sabri berkata, beliau ada menyoal mengenai pembinaan pondok berkenaan dan dimaklumkan ia hanya sementara sahaja dan warga emas itu menggunakan kemudahan di surau berhampiran.

"Ada beberapa rakan juga menghubungi saya bertanyakan isu yang tular itu, namun saya menafikan pembinaan pondok sementara berkenaan dilakukan saya walaupun saya yang menyerahkan kuncinya," katanya.

Sabri bagaimanapun berkata, pihaknya banyak membina rumah lengkap dengan keperluan asas seperti air dan elektrik untuk penduduk memerlukan di kawasan berkenaan sebelum ini dan tidak pernah timbul sebarang isu.

Malah, katanya, beliau ada menyalurkan sumbangan kepada masjid-masjid di kawasannya, bagaimanapun terpulang kepada pihak berkenaan untuk menggunakan wang untuk keperluan kariah masing-masing.

Rumah tanpa keperluan asas yang dibina untuk asnaf di Batu 16, Padang Lumat yang menjadi tular di laman sosial Facebook. Kenyataan mengaitkan Ahli Parlimen Jerai dengan pembinaan sebuah rumah tanpa keperluan asas yang dibina untuk asnaf di Batu 16, Padang Lumat, Jerai.
Rumah tanpa keperluan asas yang dibina untuk asnaf di Batu 16, Padang Lumat yang menjadi tular di laman sosial Facebook. Kenyataan mengaitkan Ahli Parlimen Jerai dengan pembinaan sebuah rumah tanpa keperluan asas yang dibina untuk asnaf di Batu 16, Padang Lumat, Jerai.

Sementara itu, Imam Masjid Ubudiah Batu 16, Mohd Fikri Ishak berkata, orang ramai diminta berhenti daripada terus memfitnah Sabri dengan mengaitkannya dengan pembinaan pondok itu.

Beliau mengakui pembinaan pondok untuk seorang warga emas yang tular di laman sosial ini adalah di bawah pengurusan masjid dan tidak ada kaitan langsung dengan PKWR Parlimen terbabit.

"Warga emas itu hidup sebatang kara, tidak berkahwin atau berkeluarga dan tinggal di sebuah rumah yang daif dalam kawasan belukar dan semak sebelum ini.

"Banyak pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) ingin membantu membina rumah untuknya, namun status tanah hak milik orang lain," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan masjid mengambil inisiatif membina sebuah rumah pondok atas tanah yang diwakaf penduduk kira-kira 20 meter dari sebuah surau.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak masjid tidak membina bilik air memandangkan warga emas itu boleh menggunakan kemudahan yang ada di surau tidak jauh dari pondok tersebut.

"Pondok lengkap dengan beberapa keperluan ini hanya untuk sementara waktu menanti selesai status tanah di Perkampungan Asnaf untuk rumah yang lebih selesa dibina untuknya," katanya.

Sebelum ini, Sabri 'diserang' dalam laman Facebook kerana didakwa membina rumah pondok untuk seorang asnaf tapi tidak menyediakan kemudahan asas termasuk bilik air dan elektrik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!