Lebih sejuta daftar untuk ambil vaksin Covid-19

Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh dilakukan pada aplikasi MySejahtera di telefon pintar milik masing-masing. - Foto Bernama
Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh dilakukan pada aplikasi MySejahtera di telefon pintar milik masing-masing. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Kira-kira 1.83 juta pendaftaran untuk menerima vaksin Covid-19 telah diterima melalui aplikasi MySejahtera setakat ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah itu direkodkan setakat jam 7 pagi pada Sabtu.

"Sehingga semalam (Jumaat), 3,580 orang telah diberi suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia," katanya pada sidang media sempena Ketibaan Bekalan Kedua Vaksin Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin pada Rabu menjadi individu pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.

Selain Muhyiddin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bersama empat petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi antara penerima pertama suntikan wabak tersebut pada hari sama pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula Rabu dengan fasa pertama dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa kedua pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Bagi fasa ketiga pula bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Malaysia pada Ahad melakar sejarah selepas menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech apabila penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesasat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABKargo Sdn Bhd (MASKargo) selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10 pagi pada Ahad.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C).