MB arah aktiviti lombong emas di Kenchau dihentikan

 Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengarahkan semua aktiviti melombong emas di kawasan Kenchau, di Lipis dihentikan serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, arahan itu dibuat bagi mengelak keadaan tidak terkawal sehingga menyebabkan kerajaan Pahang kehilangan hasil pendapatan.

Menurutnya, bagaimanapun, mereka perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa bagi membolehkan aktiviti perlombongan emas dilakukan.

"Walaupun penduduk mendakwa mereka melombong di atas tanah lot hak milik sendiri, tetapi ia tetap menyalahi peraturan dan peruntukan undang-undang. Ini kerana hasil mineral tertakluk kepada hak kerajaan Pahang.

"Jadi, saya mahu mereka hentikan aktiviti melombong sebelum dikenakan tindakan undang-undang yang akhirnya boleh menyusahkan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Imunisasi Covid-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan yang dibuat sebuah akhbar tempatan pada Rabu mengenai aktiviti perlombongan emas di kawasan Kampung Kechau, Lipis.

Wan Rosdy (duduk) selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Jumaat.
Wan Rosdy (duduk) selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Jumaat.

Wan Rosdy menjelaskan, keputusan yang dibuat bagi memastikan kepentingan semua pihak terjaga dan kerajaan tidak kejam terhadap rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengambil tindakan kerana kerajaan negeri juga perlu melihat kepada isu membabitkan kepentingan rakyat. Kalau ada isu atau laporan mengenai masalah pencemaran air yang sangat dahsyat dan ia berpunca daripada aktiviti melombong emas, jadi kerajaan negeri perlu bertindak.

"Jadi, setiap keputusan yang dibuat telah mengambil semua faktor demi kepentingan bersama," katanya.

Mengulas mengenai status permohonan pemilik tanah yang memohon lesen pelombong kecil (LPK) daripada kerajaan Pahang, Wan Rosdy berkata, perkara itu perlu diteliti memandangkan terdapat permohonan dikemukakan membabitkan 10 hingga 15 penama pada satu geran yang sama.

"Jadi, hal macam ini kena teliti terlebih dahulu dan kalau boleh, kita keluarkan lesen," katanya.