Saman kesalahan nombor plat 'fancy' bukan ekzos bising
KUALA LUMPUR - Isu berkaitan gambar yang tular di media sosial mendakwa tindakan saman melibatkan kesalahan ekzos bising motosikal jenis Harley Davidson adalah tidak benar.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan saman dikenakan adalah bagi kesalahan nombor pendaftaran 'fancy' dan bukan kesalahan ekzos bising semasa operasi JSPT Kontinjen Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Sabtu di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
"Operasi bertujuan untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada terhadap semua pengguna kenderaan termasuk juga bagi kesalahan ubah suai ekzos menyebabkan bunyi bising melebihi had yang dibenarkan.
"JSPT ingin menegaskan mana-mana kenderaan yang menggunakan peralatan dan aksesori mengikut spesifikasi keluaran asal kilang adalah tidak melakukan kesalahan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, bagaimanapun, sekiranya terdapat pengubahsuaian dilakukan tanpa mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.
"JSPT menggesa semua pengguna dan pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang agar tidak melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran demi memastikan keselamatan dan keselesaan awam," katanya.