Edar dadah RM22 juta: Pemandu lori dihukum gantung

Tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu selepas didapati bersalah mengedar dadah empat tahun lepas.
Tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu selepas didapati bersalah mengedar dadah empat tahun lepas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Rabu selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine bernilai RM22 juta, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhi hukuman itu ke atas Mohammad Ishak Ramli, 37, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, keterangan tertuduh di dalam pembelaan yang tidak mengetahui kesemua isi kandungan sebenar di dalam 11 guni berjahit dan satu beg pakaian bertutup yang dimuatkan di dalam treler miliknya mengandungi dadah adalah jelas penafian semata-mata.

"Sebelum ini, kamu mengaku bersama-sama kelindan (tertuduh kedua) menutup sendiri semua barang kononnya disangkakan beras Siam yang dimuatkan di dalam kenderaan milik kamu dengan kanvas bagi mengelak rosak terkena hujan sepanjang perjalanan nanti.

"Kamu juga ada memberi keterangan menerima upah dengan bayaran RM4,000 bagi menghantar barang berkenaan ke lokasi sedangkan sebelum ini kamu hanya menerima upah daripada RM100 hingga ke RM400 satu perjalanan dan mengikut jarak perjalanan.

"Jadi, saya setuju hujahan pihak pendakwaan yang menyatakan jika secara logiknya, upah bayaran kamu terima berganda untuk penghantaran barang ini, jadi pasti barang berkenaan bernilai berbanding barang-barang lain, kamu selaku pemilik kenderaan tersebut takkan tidak mahu mengetahui barang apa yang diupah sedangkan kamu berpeluang untuk membuka bungkusan itu," katanya dalam penghakiman.

Bagaimanapun, tertuduh kedua iaitu kelindan sementaranya, Nur Muhammad Izzudin Nordin, 29, yang dituduh bersama dilepas dan dibebaskan selepas didapati tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pembelaan tertuduh kedua (Muhammad Izzudin Nordin) berjaya membuktikan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, keterangan tertuduh kedua selaku kelindan sementara tidak ambil tahu barangan yang dibawa kerana hanya dibayar untuk menemani sepanjang perjalanan.

"Jadi, adalah munasabah tertuduh tidak perlu mengetahui identiti barang dibawa kerana dia tidak ada hak dan hanya dilantik sebagai kelindan sementara," kata Abdul Wahab.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah itu dalam ruang muatan sebuah treler jenis Volvo di tepi sebuah rumah di Kampung Rawai, Bukit Payong, Marang, pada jam 11 malam, 25 September 2017.

Mereka didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 203,946.7 gram yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah.

Tertuduh, Mohammad Ishak diwakili peguam bela, Datuk Sukri Mohamed manakala Nur Muhammad Izzudin diwakili peguam bela, Mazlan Md Zain.