Kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang terbakar

Anggota bomba sedang berusaha memadam api pada kabel yang terbakar di Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
Anggota bomba sedang berusaha memadam api pada kabel yang terbakar di Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar menyebabkan keadaan trafik di jambatan tersebut sesak teruk sejak jam 5.30 petang Isnin.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fadzik Othman berkata, kejadian berlaku di Kilometer 3.3 Jambatan Pulau Pinang.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.27 petang lalu terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kebakaran melibatkan kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang.

"Tiada akses laluan ke lokasi untuk membuat pemadaman. Sehubungan itu, anggota bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang menggunakan bot ke lokasi kebakaran untuk memadam api dari bawah.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.

Ketua pegawai gridnya, Datuk Husaini Husin berkata, kebakaran dikesan berlaku kira-kira jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

Menurutnya, TNB bekerjasama dengan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta PLUS dalam mengawal kebakaran bagi membolehkan aliran trafik di jambatan kembali lancar.

Artikel Berkaitan:

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat kejadian ini. Bekalan elektrik kepada semua pengguna di Pulau Pinang masih stabil.

"Proses baik pulih kerosakan kabel yang terjejas akan dijalankan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, pada September 2010, kejadian sama berlaku apabila tiga kabel kuasa terbakar di Jambatan Pulau Pinang, mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan pulau terutama di Bayan Lepas.

Dalam pada itu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari ketika dihubungi berkata, kebakaran itu mengakibatkan tiga litar di bawah Jambatan Pulau Pinang tersebut terputus.

Menurutnya, bagaimanapun tiada gangguan elektrik kerana terdapat empat lagi litar di bawah air (kabel dasar laut) yang tidak terjejas.

"Masih terlalu awal untuk mengetahui sejauh mana kerosakan pada litar kerana pihak Jambatan Pulau Pinang perlu melakukan pembaikan sebaik sahaja ia selamat dan tidak ada lagi asap.

"Pada masa ini sukar untuk menentukan tahap serius kejadian itu. Kita perlu menunggu lebih banyak maklumat," katanya.