X

Kindly register in order to view this article
!

PKKM Sarawak catat jualan dalam talian lebih RM1 juta

Nancy
A
A

KUCHING - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) cawangan Sarawak mencatatkan jualan sebanyak RM1.07 juta bagi tempoh April 2020 hingga Januari 2021 melalui platform dalam taliannya, E-Kraf Bazar, Craft On The Go dan MyCraftShoppe.com sejak dilancarkan pada April tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu bertujuan membantu pengusaha kraf di Sarawak memasarkan produk mereka ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19.

“Sambutan menerusi platform ini sangat menggalakkan dan untuk Sarawak sahaja, terdapat 140 usahawan bagi E-Kraf Bazar, 86 usahawan Craft On The Go dan 44 usahawan MyCraftShoppe.com yang terlibat dalam penjualan dalam talian itu,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat PKKM di sini pada Isnin.

Sementara itu, Nancy berkata, bagi menjaga dan memelihara warisan serta produk kraf tangan di Sarawak, kementeriannya bersama Institut Kraf Negara mengambil inisiatif memperkenalkan Sijil Kemahiran Malaysia bagi program pengajian tenunan songket dan pua, masing-masing di kampus satelit PKKM Kuching dan Betong.

“Kita menyasarkan seramai 25 pelajar yang akan mengikuti program pengajian berkenaan. Jika kita tidak meneruskan program seperti ini, pasti ia tidak akan berkembang dan menjadi cabaran kita untuk menarik minat orang muda menyertai kursus itu,” katanya.

Tempoh program pengajian itu ialah selama dua tahun dan individu yang berminat boleh menghubungi PKKM Sarawak di talian 082-444205 bagi kemasukan sesi Julai 2021.

Terdahulu di majlis itu, Nancy bersama Pengarah PKKM Sarawak, Azran Arip dibawa melihat pelbagai aktiviti demonstrasi produk kraf seperti pembuatan kayu perabot daripada kayu belian, pembuatan sarung dan mata parang, serta penghasilan batik linut. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!