Tubuh kelab, badan beruniform perangi rasuah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan wajar menubuhkan kelab anti rasuah ataupun badan beruniform khas sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha memerangi budaya rasuah dalam kalangan pelajar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan memandangkan ia masih belum lagi diwujudkan di semua institusi pendidikan.

Menurutnya, musuh utama negara bukan sahaja dadah malah budaya rasuah turut tergolong sama.

“Mungkin kerajaan boleh bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menubuhkan satu kelab anti rasuah dan juga badan beruniform seperti kadet SPRM di semua peringkat sekolah rendah, menengah dan juga IPT.

“Dengan wujudkan badan-badan berkenaan, ia secara tidak langsung dapat melahirkan satu generasi yang bukan sahaja bebas rasuah tetapi membenci rasuah sebagaimana bencinya kepada virus Covid-19,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, prestasi berkaitan budaya rasuah di negara ini dilihat agak jauh ketinggalan berbanding dengan negara luar.

Katanya, walaupun pelbagai insentif telah diperkenalkan oleh kerajaan termasuklah akta dan undang-undang namun keberkesanannya itu kurang menonjol.

“Saya lihat ramai kakitangan awam seperti guru dan pengetua sekolah terlibat dengan budaya rasuah.

“Ini memberi kesan yang kurang baik dari segi pendidikan. Jadi, saya rasa usaha bersepadu perlu dilakukan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Artikel Berkaitan: