49,472 calon duduki SPM di Johor

Proses sanitasi di SMK Majidee Baru 2, Kangkar Tebrau pada Ahad.
Proses sanitasi di SMK Majidee Baru 2, Kangkar Tebrau pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 49,472 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 akan menduduki peperiksaan itu di 336 pusat di negeri ini bermula Isnin hingga 25 Mac depan.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 4,089 petugas peperiksaan telah dilantik.

Katanya, calon dan petugas peperiksaan SPM 2020 di Johor diwajibkan untuk mengikuti segala panduan pengurusan pentaksiran peperiksaan awam yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Pengoperasian sekolah dalam Norma Baharu 2.0 dan prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan negeri ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM 2020 pada semua pelajar di negeri bermula esok (Isnin)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, sebanyak 288 buah sekolah menengah kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama terlibat dengan peperiksaan SPM bermula esok sudah disanitasi.

Katanya, proses sanitasi sekolah tersebut sudah dimulakan sejak Jumaat sebagai persediaan menghadapi SPM.

Beliau hadir meninjau proses sanitasi dijalankan 25 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau di SMK Majidee Baru 2, Kangkar Tebrau, di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan: