PH gesa KPM teliti keputusan buka sekolah

Jawatankuasa Pendidikan PH cadang pembukaan semula sekolah mengambil kira status negeri sama ada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - Foto fail Bernama
Jawatankuasa Pendidikan PH cadang pembukaan semula sekolah mengambil kira status negeri sama ada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk lebih teliti berikutan keputusan mengejut pembukaan semula sesi persekolahan pada Mac.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kekalutan pengumuman tanpa alasan yang diberikan telah menimbulkan seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat.

“Ramai ibu bapa dan guru tertanya-tanya apakah alasan utama untuk kembali ke sekolah ketika pandemik masih tinggi dan masih terdapat negeri serta kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah,” kata jawatankuasa itu pada Sabtu.

Dalam pada itu, jawatankuasa itu turut mencadangkan pembukaan semula sekolah haruslah mengambil kira status negeri sama ada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu, KPM perlu memberi kuasa autonomi kepada pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan bersama, sama ada membuka atau menutup sekolah sendiri.

“Ini kerana setiap lokasi memiliki kes dan keadaan yang berbeza serta KPM tidak boleh membuat keputusan secara pukul rata ketika pandemik sedang melanda negara kita,” ujar jawatankuasa itu

Pada masa sama, jawatankuasa itu turut meminta agar guru juga diberi ruang untuk fokus mengajar ketika sekolah dibuka kelak dan semua tugas pentadbiran, pembinaan kertas kerja dan beban kerja kekemasan kelas tidak boleh menjadi keutamaan buat masa ini.

"Guru-guru dan kakitangan sekolah harus menjadi golongan pertama dalam program vaksin kerana guru-guru juga adalah frontliners yang berjuang untuk mendidik anak bangsa.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, kerajaan wajib mempunyai pelan menyeluruh bagi semua senario melibatkan pandemik Covid-19 agar ibu bapa, pelajar, guru malah semua yang turut terkesan dapat mengusahakan langkah-langkah persediaan yang rapi," kata jawatankuasa itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Dr Maszlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai) dan Datuk Dr Hassan Baharom (Ahli Parlimen Tampin).