Etnik Uighur: Malaysia pilih berdiplomasi dengan China

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Wisma Putra telah memaklumkan keprihatinan Malaysia kepada Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian berhubung konflik Muslim Uighur yang ditindas Kerajaan China di Wilayah Xinjiang.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia mengikuti rapat perkembangan penindasan etnik Islam Uighur yang ditekan pemerintah Republik China namun, memilih untuk meredakannya menerusi saluran diplomasi bagi menjaga hubungan Malaysia-China.

“Kita mengikuti perkembangan itu dengan rapat sekali dan pada peringkat pegawai, Wisma Putra sudah memaklumkan keprihatinan kami kepada Duta Besar China di Malaysia.

“Kita mengikut saluran diplomasi sedia ada sambil menjaga baik hubungan Malaysia-China,” katanya ketika ditanya berkenaan pendirian Malaysia

Malaysia kelihatan begitu berhati-hati dalam isu konflik penindasan terhadap etnik Islam Uighur.

ARTIKEL BERKAITAN: Dunia Islam jangan biar China terus ratah etnik Uighur

Buat masa ini, kebanyakan negara Islam di dunia masih lagi membisu dan memilih jalan selamat berhubung tindakan kejam pemerintah China terhadap etnik minoriti Uighur.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan hak asasi telah mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menghantar penyiasat ke wilayah Xinjiang di barat laut China, bagi menyiasat penahanan besar-besaran etnik Uighur dan kaum minoriti Islam lain.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Turki mengutuk layanan China ke atas penduduk Islam Uighur, menyifatkan ia sebagai ‘keaiban besar kepada kemanusiaan’, menambah kritikan yang dilemparkan kumpulan hak asasi berhubung penahanan beramai-ramai etnik itu.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar Turki, Hami Aksoy berkata, dasar asimilasi sistematik dilakukan pihak berkuasa China terhadap penduduk Uighur adalah keaiban besar kepada kemanusiaan.

Wilayah Xinjiang di barat laut China, yang ramai etnik Uighur, diletakkan di bawah pengawasan ketat polis sejak beberapa tahun lalu, selepas ketegasan ganas antara etnik.

Hampir sejuta etnik Uighur dan minoriti berbahasa Turki di China dilaporkan ditahan di kem pendidikan semula.