Warga Bangladesh didakwa rogol jiran

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja pembinaan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan warga Myanmar yang merupakan jirannya, bulan lepas.

Ali Mohamed Ayub, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Malaysia di hadapan Hakim Noradura Hamzah.

Lelaki itu didakwa merogol remaja berusia 18 tahun itu di sebuah rumah sewa di Jalan Tung Shin, di sini, pada 11 malam, 28 Jan lalu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya K. Vasugi tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Iqhmar Syafiq Mohd Azmi diikat jamin dan menetapkan 26 Februari untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: