X

Kindly register in order to view this article
!

Darurat: Permohonan batal saman Khairuddin didengar 12 April

Muhyiddin - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman pemula bekas penyelaras Parlimen Jasin Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mencabar tindakan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan Covid-19, akan didengar pada 12 April ini.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya pada prosiding yang akan berlangsung secara dalam talian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes itu hari ini, yang turut disertai peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Khairuddin.

Pada 17 Februari lepas, Muhyiddin dan kerajaan sebagai defendan pertama dan kedua memfailkan permohonan untuk membatalkan saman menerusi Peguam Persekutuan atas alasan tuntutan saman tersebut mengaibkan, remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Cara Negara Datuk Abdul Razak Musa, menerusi afidavit sokongan difailkan bersama permohonan itu berkata tiada sebarang bukti dalam permohonan Khairuddin, selaku plaintif mahupun afidavit sokongannya yang menyokong penegasan plaintif bahawa Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Menurut Abdul Razak, plaintif juga gagal mengenal pasti hak umum dan hak persendirian atau kepentingan undang-undang plaintif yang telah dinafikan lanjutan daripada nasihat defendan pertama itu atau kerugian dialami secara peribadi akibat nasihat berkenaan dan isu atau kontroversi antara diri plaintif dengan kedua-dua defendan yang memerlukan keputusan daripada mahkamah.

Pada 18 Januari lepas, Khairuddin memfailkan saman pemula itu antara lain memohon mahkamah memutuskan empat persoalan undang-undang dan keperlembagaan bahawa pengisytiharan Proklamasi Darurat tersebut adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Pada 12 Januari lepas, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Muhyiddin, pada hari sama, menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Antara lain, Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!