Dua PKRC swasta dijangka beroperasi Mac ini

Hasni (kiri) dan Vidyananthan meninjau operasi PKRC di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Khamis.
Hasni (kiri) dan Vidyananthan meninjau operasi PKRC di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Johor akan mempunyai dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) swasta yang dijadual beroperasi pada awal bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kedua-dua PKRC itu akan beroperasi secara berperingkat-peringkat dan kini dalam proses akhir mendapatkan kelulusan kerajaan Persekutuan.

"PKRC swasta tersebut melibatkan sebuah hotel di Iskandar Puteri manakala satu lagi asrama pekerja di kawasan Kota Tinggi. Ini adalah PKRC swasta yang pertama seumpamanya di Johor.

"Hotel tersebut boleh menempatkan 250 pesakit Covid-19 manakala asrama pekerja boleh menempatkan lebih ramai daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini pada Khamis.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu dan Komander Operasi PKRC Johor, Mohd Fathi Zaki Mohd Zakaria.

PKRC di Stadium Tertutup MBPG itu adalah yang pertama di Johor beroperasi pada 10 Februari lalu mampu menempatkan 1,200 pesakit dari seluruh negeri melibatkan semua peringkat usia bermula lima tahun ke atas.

Hasni berkata, PKRC swasta itu khusus menempatkan pesakit bukan warganegara dengan kos akan ditanggung majikan atau pesakit sendiri termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mengenai PKRC di stadium berkenaan, beliau berkata, setakat ini kumulatif pesakit yang telah didaftarkan berjumlah 335 orang iaitu 201 pesakit lelaki dan 134 pesakit wanita.

"Daripada jumlah ini, empat pesakit telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut, 54 pesakit dibenarkan pulang sementara 277 pesakit masih dikuarantin di sini," katanya.

Jelasnya, mereka yang ditempatkan di PKRC tersebut adalah dalam kategori pesakit tahap satu dan dua, setakat ini maklum balas diterima daripada pesakit yang sudah dibenarkan pulang adalah memuaskan.