Padah kemuka MyKad milik orang lain

Habibi menunjukkan rokok yang berjaya dirampas dalam operasi bersepadu di Pekan Inanam, Kota Kinabalu pada Khamis.
Habibi menunjukkan rokok yang berjaya dirampas dalam operasi bersepadu di Pekan Inanam, Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan seorang lelaki warga asing mengemukakan kad pengenalan milik orang lain ketika diperiksa polis membawa padah apabila ditahan dalam operasi bersepadu cegah jenayah di Pekan Inanam, pada Khamis.

Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, wajah lelaki berusia 40an terbabit didapati tidak sama dengan gambar dalam MyKad yang dikemukakan kepada polis.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian mengaku bahawa MyKad terbabit baru saja ditemuinya sebelum pemeriksaan dilakukan dan kononnya berhasrat mahu menyerahkan kepada pihak berkuasa namun tidak dapat berbuat demikian kerana ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi bersepadu itu berjaya menahan 11 individu termasuk lelaki terbabit bagi kesalahan memiliki dadah, menjual rokok dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri iaitu pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Semua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 40an di mana empat daripadanya ditahan kerana memiliki syabu manakala dua lagi didapati positif dadah.

"Dalam operasi ini juga, kita berjaya menahan seorang lelaki kerana memiliki 125 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM3,000 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu.

Operasi bersepadu itu diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membabitkan seramai 100 petugas.

Artikel Berkaitan: