Hala tuju Pas jelas, kukuhkan MN pertahan PN: Pemuda Pas

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Hala tuju Pas di bawah pimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah jelas iaitu perkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan pertahankan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menegaskan, selain daripada misi yang disebutkan maka ia bukanlah daripada Pas.

“Adalah penting bagi semua ahli Pas untuk memahami, menghayati dan menggerakkan ‘agenda setting’ yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dan bukannya membawa ‘agenda setting’ daripada pimpinan parti lain apatah lagi daripada parti lawan.

“Tugas kita adalah menyatukan ummah, mendamaikan. Kita adalah ejen perpaduan ummah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairil Nizam ketika dihubungi Sinar Harian turut berharap ahli dan pemimpin di setiap peringkat agar memberikan fokus kepada persediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pelancaran jentera pilihan raya parti di peringkat Pemuda sudahpun berlaku dan hanya tinggal beberapa negeri sahaja yang belum kerana masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun semuanya akan selesai terdekat ini. Fokus kepada penyatuan ummah. Kalau tidak disebabkan PKP Insya-ALLAH akan ada program secara bersama jentera Muafakat Nasional dan PN," katanya.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda PN bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan mendakwa Pas sedang dilanda krisis dalaman berhubung wujud dua kelompok pemimpin di mana satu kelompok menyokong MN dan satu lagi menyokong PN.

Artikel Berkaitan: