X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah tolak permohonan tahan reman pengasas aplikasi 'Sugarbook'

A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Peguam yang mewakili lelaki tersebut, Foong Cheng Leong berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa berkenaan selepas anak guamnya memberi aku janji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki tempatan berusia 34 tahun yang berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada jam 4.30 Rabu petang di sebuah kondominium di ibu negara.

“Menerusi siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 372(1)(d) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Sugarbook diberkas polis

Menurut Fadzil, hingga kini sebanyak 74 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes itu.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang menyediakan platform untuk mencari teman janji temu itu.

Susulan aduan orang ramai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat akses ke laman tersebut yan turut mendakwa semakin ramai wanita di negara ini, khususnya penuntut universiti, menawarkan diri menjadi sugar baby menerusi laman berkenaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!