X

Kindly register in order to view this article
!

Guru bersihkan sampah di sungai dapat penghargaan Sultan Nazrin

Warkah penghargaan daripada Sultan Nazrin kepada Cikgu Ismail atas usaha guru SK Felda Besout 1 itu membersihkan Sungai Balun.
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan atas sifat terpuji ditunjukkan oleh seorang guru, Ismail Mohd Zain yang melakukan kerja pembersihan sampah sarap di Sungai Balun, Slim River.

Dalam warkah penghargaan yang disampaikan kepada guru berkenaan, Sultan Nazrin turut memuji usaha guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Besout 1 itu kerana melakukan rutin berkenaan secara sukarela.

Titah baginda, usaha membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap yang terperangkap bukan sahaja membantu pengaliran air sungai yang dapat menghindarkan banjir, malah turut memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak, seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.

"Beta menzahirkan penghargaan atas sifat yang amat terpuji yang telah saudara beta pamerkan.

"Bertugas sebagai seorang guru, saudara beta telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya dijadikan contoh oleh warga dan pelajar-pelajar di negara ini.

"Semoga ALLAH Subhanahu Wataala menerima usaha murni yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia-ganjaran akhirat," titah baginda dalam warkah berkenaan yang dikongsi kepada media pada Rabu.

Usaha murni Ismail, 40, dilaporkan oleh sebuah akhbar pada 14 Februari lalu menceritakan kerja sukarela yang dilakukan beliau dalam membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap meskipun terpaksa meredah selut dan berdepan lintah.

Guru terbabit melakukan kerja pembersihan itu bertujuan memastikan aliran air sungai berkenaan lancar dan tidak tersekat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!