X

Kindly register in order to view this article
!

Projek solar: Keputusan kes Rosmah Khamis ini

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Tinggi hari ini, bagi hujahan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Khamis ini, perhatian ramai akan tertumpu kepada Datin Seri Rosmah Mansor, apabila Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan sama ada akan memanggilnya untuk membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak, atau membebaskannya.

Rosmah, 69, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Pada hari berkenaan, Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan membuat ketetapan sama ada memanggil Rosmah untuk membela diri terhadap pertuduhan itu atau membebaskannya.

Sekiranya diperintah untuk membela diri, Rosmah mempunyai tiga pilihan - sama ada berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberikan kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; atau memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Pada 11 Disember lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 Januari 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya, dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!