Dasar Perpaduan Negara mampu atasi isu perkauman

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM – Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai tepat pada masanya dan amat relevan ketika isu perpaduan di negara kini diibaratkan ‘seperti api dalam sekam’.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, meskipun Malaysia berjaya mengekalkan perpaduan antara kaum sejak merdeka, namun masih terdapat sisi yang perlu diberi penekanan melalui dasar tersebut.

Menurutnya, masalah politik yang berasakan perkauman, masalah diskriminasi kaum yang masih berlaku mampu menjadi pencetus kepada masalah yang lebih besar.

“Walaupun tidak ramai yang ingin membahaskannya secara terbuka tetapi mereka simpan dalam hati dengan rasa tak puas hati.

“Ia seperti api dalam sekam... cuma ia boleh dikawal. Namun kita bimbang jika satu hari nanti ia akan meletup.

“Jadi dasar ini sangat relevan demi meningkatkan perpaduan itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, penekanan terhadap konsep perpaduan berlandaskan Perlembagaan juga penting dan perlu difahami serta dihayati dengan baik oleh semua kaum.

Katanya, dalam Perlembagaan sendiri jelas bahawa kedudukan setiap bangsa itu dijaga.

Artikel Berkaitan:

“Perkara 3, Perkara 8 dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan perlu difahami. Jika kita boleh amalkan ini, kita seharusnya boleh elakkan daripada salah faham hubungan antara kaum dan agama,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan lancar Dasar Perpaduan Negara

Pada masa sama, Saifuddin berkata, pendekatan toleransi antara kaum juga wajar diubah kepada pendekatan ‘menyukai’ bagi meningkatkan penerimaan dan kesediaan masyarakat untuk hidup bersama dengan aman.

Katanya, ia juga perlu disokong melalui perkara-perkara yang boleh diamalkan bersama khususnya penekanan terhadap kegiatan sukan.

“Tiada aktiviti yang semua rakyat Malaysia suka seperti suka sukan sama ada dia bermain atau dia menonton. Tiada peristiwa yang satu Malaysia boleh duduk diam depan televisyen dan masa itu dia lupa dia Melayu, Cina atau India.

“Namun ada beberapa sukan yang dikaitkan dengan perkauman perlu dihentikan. Malah sukan juga harus bebas daripada pengaruh politik,” katanya.

Menyentuh soal politik, Saifuddin berkata, peranan lebih besar perlu dimainkan setiap ahli politik dalam memelihara perpaduan negara bukannya menjadi pencetus kepada isu perkauman hanya kerana untuk meraih sokongan.

“Jika mahu berbicara, berbicaralah dengan positif dan galakkan perpaduan. Tidak terkecuali masalah rasuah yang turur menjadi racun dalam masyarakat dan negara.

“Menjadi masalah jika sesuatu keputusan itu dibuat bukan atas dasar merit tapi atas dasar perkauman. Kalau sesuatu pemilihan dibuat berdasarkan perkauman ada kemungkinan hasil yang dibuat tak berkualiti kerana tiada kelayakan,” katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 secara maya di Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

Tiga objektif utama digariskan iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab; serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.