X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 22 Januari 2022

Kerajaan lancar Dasar Perpaduan Negara

Kerajaan melancarkan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat. - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melancarkan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara tiga objektif yang ditetapkan adalah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara.

"Selain untuk melahirkan rakyat yang menghargai serta mengamalkan perpaduan, dasar ini akan membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab," katanya dalam ucapan pelancaran dasar itu pada Isnin.

Menurutnya, bagi memastikan objektif itu tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting.

"Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perpaduan Negara ini adalah dasar kita bersama dan kita semua adalah ejen perpaduan negara," katanya.

Beliau berkata, penggubalan Dasar Perpaduan Negara adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

"Dasar Perpaduan Negara adalah selaras dengan dasar-dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar-dasar lain yang berkuat kuasa," katanya.

Muhyiddin berkata, perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara dan Malaysia merupakan negara majmuk.

"Oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian ini, maka usaha ke arah mewujudkan perpaduan di negara ini perlu dilengkapi dan berlandaskan usaha integrasi berterusan," katanya.

Menurutnya, perpaduan rakyat Malaysia dapat dilihat dengan jelas apabila dijelmakan dalam keadaan sebenar ketika negara dilanda cabaran dan musibah.

"Di kala negara masih berdepan dengan gelombang Covid-19, kita telah saksikan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

"Berbekalkan slogan #KitaJagaKita, rakyat bersama-sama bersatu membantu Kerajaan dalam menyebarkan mesej yang positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan

"Ternyata rakyat Malaysia berjiwa patriotik kerana bersatu hati berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak membawa aspirasi Dasar Perpaduan Negara ke hadapan.

"Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan dan kudrat untuk terus menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan yang amat mencabar pada masa ini," katanya.

Majlis yang diadakan secara maya itu turut dihadiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dan Timbalannya, Senator Datuk Sri Ti Lian Ker.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!