Vaksin Covid-19 selamat, tidak mengandungi mikrocip

Vaksin Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya jangka panjang terhadap kesihatan. (Gambar kecil: Datuk Dr Rohaizat Yon)
Vaksin Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya jangka panjang terhadap kesihatan. (Gambar kecil: Datuk Dr Rohaizat Yon)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon menegaskan bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat dan tidak mengandungi mikrocip yang akan mengawal minda manusia.

Menjawab persoalan berhubung teori konspirasi yang mendakwa vaksin berkenaan mengandungi mikrocip, Dr Rohaizat berkata, kaedah Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin telah terbukti selamat dan berkesan.

“mRNA adalah sangat kecil, kita tidak boleh memasukkan mikrocip di dalamnya dan juga ia tidak berinteraksi dengan genom manusia,” katanya dalam rancangan Bernama TV’s Mid-day Update dikendalikan oleh Jessy Chahal pada Selasa.

Justeru, beliau menggesa agar masyarakat mempercayai mesej rasmi atau maklumat daripada laman rasmi kerajaan serta kajian literatur yang boleh dipercayai berkaitan vaksin.

Beliau berkata, orang ramai boleh merujuk kepada Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengandungi maklumat antaranya mengenai jenis-jenis vaksin Covid-19 digunakan oleh kerajaan, kemudahan penyimpanan vaksin serta pandangan sudut keagamaan mengenai panduan vaksin dan imunisasi.

Buku panduan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Dr Rohaizat juga menegaskan bahawa vaksin Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya jangka panjang terhadap kesihatan.

“Setakat ini, kajian daripada negara-negara lain menunjukkan vaksin ini selamat. Sepanjang yang kita ketahui, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura mendahului kita (pelaksanaan program imunisasi), oleh itu Malaysia boleh mempelajari dan mengkaji semula prestasi, kekurangan dan pencapaian mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: