X

Kindly register in order to view this article
!

Rogol dalam lokap: Pegawai, anggota polis cuai berdepan tindakan

Gambar kecil: Zamri Yahya
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 11 pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang didapati cuai menjalankan tugas sehingga berlaku kes rogol di dalam lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak akan dikenakan tindakan tatatertib.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung kecuaian dan salah laku anggota dan pegawai polis terbabit dalam kejadian tersebut.

"Seramai 11 pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas akan diambil tindakan diturunkan pangkat atau dibuang kerja," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Zamri berkata, dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap pada masa kejadian pula telah ditahan kerja sejak 14 Januari lalu.

"Mereka telah dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 9 Februari lalu," katanya.

Zamri berkata, sebanyak dua laporan polis telah diterima berhubung kejadian itu.

"Laporan pertama yang dibuat oleh seorang anggota polis melibatkan kejadian rogol telah disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Laporan kedua pula dibuat oleh mangsa rogol yang mendakwa berlaku kecuaian daripada pihak polis telah disiasat di bawah Seksyen 166 Kanun Keseksaan dan Seksyen 221 Akta sama," katanya.

Susulan kejadian tersebut, beliau berkata, kedua-dua kertas siasatan yang dibuka telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Suspek seorang lelaki berusia 19 tahun telah dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Januari lalu," katanya.

Dalam kejadian pada 9 Januari lalu, seorang tahanan remaja perempuan berusia 16 tahun telah dirogol oleh seorang tahanan lelaki di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!