UMNO Sabah sasar 13 kerusi PRU15: Bung Moktar

Bung Moktar ketika mempengerusikan Mesyuarat JUARA UMNO Sabah di Bangunan UMNO di Kota Kinabalu.
Bung Moktar ketika mempengerusikan Mesyuarat JUARA UMNO Sabah di Bangunan UMNO di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 10 hingga 13 kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mengikut fakta pada PRU ke-14, UMNO diberikan kerusi untuk bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Parlimen Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.

Menurutnya, sasaran itu berpandukan kepada kajian parti melalui Jabatan Urusan Pilihanraya (JUARA) UMNO Sabah di mana Sekretrariat Penyelidikan yang di pengerusikan oleh Ir Shahelmey Yahya bersama jawatankuasa akan membuat penyelidikan tentang kekuatan sokongan rakyat kepada UMNO bagi kerusi yang dituntut.

"Penyelidikan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil daripada rumusan laporan itu nanti kita akan muktamadkan keputusan kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi oleh UMNO," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat JUARA UMNO Sabah di Bangunan UMNO pada Sabtu.