X

Kindly register in order to view this article
!

Enam Pati Bangladesh dicekup ketika bekerja

Seorang Pati Bangladesh sedang menyembelih ayam ketika ditahan sepasukan 17 pegawai dan anggota Unit Aduan, Risikan dan Operasi JIM Kedah di sebuah kedai runcit sekitar rumah kedai di Jalan Teratai 1, Amanjaya, dalam Op Sapu pada Sabtu.
A
A

ALOR SETAR - Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang bekerja di sebuah kedai runcit sekitar rumah kedai di JalanTeratai 1, Amanjaya, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam Op Sapu pada Sabtu.

Ketika pemeriksaan sepasukan 17 pegawai dan anggota Unit Aduan, Risikan dan Operasi JIM Kedah mendapati kesemua suspek berusia antara 22 hingga 35 tahun itu bekerja sebagai penyembelih dan pemotong ayam; juruwang; penjual barangan basah dan runcit dalam premis yang kotor dan menjijikkan itu.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, siasatan mendapati PATI berkenaan turut menjual sayur-sayuran, ikan dan barang basah di tingkat atas rumah kedai yang disewakan oleh warga tempatan kepada mereka.

Beliau berkata, premis berkenaan turut dijadikan tempat penyembelihan penyimpanan ayam hidup selain menjual pakaian.

"Kami melakukan pemeriksaan ke atas 49 individu pelbagai negara di sembilan lokasi sekitar kawasan rumah kedai tersebut dalam operasi selama enam jam bermula jam 5 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan ialah melanggar syarat pas yang diberikan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Selain itu, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 59/63 tiada sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) kerana telah tinggal lebih masa selepas tamat pas yang telah dikeluarkan," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menyiasat pemilik premis dan pemilik lesen perniagaan yang membenarkan atau menyewakan kepada warga asing bagi tujuan perniagaan tersebut.

"Premis tersebut dimiliki oleh orang tempatan dan menyewakannya kepada warga asing bagi tujuan mengaut keuntungan mudah," katanya.

Zuhair berkata, kesemua yang ditahan akan di bawa ke Klinik Kesihatan Kota Setar untuk saringan Covid-19 dan kemudian akan ditahan di lokap di pejabat Imigresen Alor Setar sebelum di hantar ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan lanjut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!