MARA bantu pelajar MRSM ke menara gading

Infografik fakta BUDI MARA
Infografik fakta BUDI MARA
A
A
A

MAKTAB Rendah Sains MARA (MRSM) ialah sebuah institusi pendidikan menengah yang menyediakan kemudahan infrastruktur yang kondusif, menggunakan teknologi terkini dan modul pembelajaran yang komprehensif. Faktor ini menjadikan MRSM sebagai sebuah institusi pendidikan menengah pilihan utama masyarakat.

Kini, MARA mempunyai 53 buah MRSM dengan seramai 36,705 orang pelajar. MARA sentiasa memastikan pengambilan pelajarnya memenuhi kriteria asas iaitu cemerlang akademik dan taraf sosioekonomi keluarga pelajar bagi memastikan kuota kemasukan 60 peratus pelajar dalam kalangan B40 dapat dicapai selaras dengan hasrat kerajaan.

Status ekonomi keluarga memberi impak yang besar kepada kelangsungan pendidikan seseorang pelajar. Pelajar dalam kalangan B40 cenderung untuk memiliki konsep kendiri dan motivasi yang rendah berbanding dengan pelajar lain. Situasi ini menyebabkan mereka berasa rendah diri untuk bersaing dengan pelajar lain dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Sehubungan dengan itu, untuk memastikan pelajar ini dapat meneruskan pendidikan dengan sempurna, MARA mewujudkan program BUDI MARA yang bukan sahaja membantu dari segi kewangan malahan memberikan sokongan emosi bagi membangunkan keyakinan dan jati diri pelajar menerusi sokongan sistem homeroom di MRSM.

MRSM memiliki sistem homeroom yang bersifat menyeluruh dalam pembangunan akademik, perkembangan sahsiah, pemerkasaan bakat dan potensi pelajar. Program homeroom berfungsi sebagai penyuntik motivasi serta sokongan emosi kepada pelajar yang pasti mengalami pelbagai cabaran di MRSM.

Guru penasihat homeroom bukan sahaja melihat perkembangan pelajar sepanjang berada di MRSM malah jauh dari itu, guru ini juga perlu melihat perkembangan pelajar di bawah jagaan sehingga mereka tamat persekolahan.

Hal ini bagi memastikan modal insan yang dilahirkan melalui Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) dapat menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.

Bekas pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu dan alumni Kolej MARA Seremban, Zammil Aiman Zainudin, 19, merupakan salah seorang pelajar di bawah program BUDI MARA yang kini melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia iaitu Imperial College United Kingdom, London.

Artikel Berkaitan:

“Guru homeroom yang juga kaunselor memainkan peranan besar membimbing saya dan rakan-rakan terutama apabila menghadapi masalah dalam akademik dan juga masalah peribadi," katanya berkongsi pengalaman semasa beliau belajar di MRSM.

Zammil Aiman salah seorang bekas pelajar di bawah BUDI MARA yang kini menuntut di Imperial College London.
Zammil Aiman salah seorang bekas pelajar di bawah BUDI MARA yang kini menuntut di Imperial College London.

“Menipulah saya kalau saya kata program ini tidak membantu. Keluarga saya berasal dari Paya Jaras, Selangor dan berpendapatan rendah. Ibu dan bapa saya mengalami kesihatan yang tidak stabil dan tidak berpendapatan tetap.

"Melalui bantuan ini dapat mengurangkan beban ummi dan abah saya dari segi kewangan dan pembelajaran saya tidak terganggu kerana tidak risau akan pembayaran yuran. Saya bertuah kerana saya turut mendapat bantuan daripada Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT) cawangan MRSM Kuala Kubu Bharu untuk bayaran yuran International General Certificate of Secondary Education (IGCSE)," katanya.

Presiden MUAFAKAT, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad berkata, MUAFAKAT amat prihatin dan sangat mengambil berat akan kebajikan anak-anak MRSM dan sentiasa sedia membantu anak-anak yang menghadapi masalah kewangan dan yang memerlukan khidmat nasihat.

“Dulu saya sangat tidak berkeyakinan untuk bercakap dalam bahasa Inggeris, sehingga berasa sedikit tertekan apabila melihat rakan-rakan lain fasih berbahasa Inggeris tetapi dengan sokongan guru dan rakan-rakan homeroom saya berjaya mengatasi masalah ini dengan cuba berbahasa Inggeris di dalam kelas Bahasa Inggeris dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti serta menjadi pengerusi majlis pada perhimpunan mingguan.

“Harapan saya kepada pelajar BUDI MARA, jangan cepat berputus asa dalam mengejar cita-cita. Jangan sesekali lupa kepada pihak yang telah membantu kita kerana kejayaan seseorang itu bukan sahaja daripada hasil usaha diri sendiri tetapi sokongan dan bantuan pihak di sekeliling kita." katanya.

 Sayed Alfeizal
Sayed Alfeizal

Mengikuti perkembangan dan pencapaian pelajar-pelajar BUDI yang telah dicapai pada 2019 amat membanggakan kerana walaupun mereka dalam kalangan keluarga tidak berkemampuan tetapi mampu mencapai kejayaan apabila 100 peratus pelajar di bawah program ini telah berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu, 15.6 peratus pelajar BUDI mengikuti program persediaan ke luar negara. Kejayaan mereka bukan hanya dalam bidang akademik tetapi 98 peratus daripada pelajar ini berjaya mendapat skor 7 ke atas dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan sebanyak 57.9 peratus pelajar diasah bakat dan potensi sebagai pemimpin di bawah Badan Perwakilan Pelajar (BWP).

Kejayaan dan pencapaian pelajar BUDI ini membuka ruang yang lebih besar untuk mereka menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan di luar negara.

Kecemerlangan yang dicapai ini membuktikan bahawa program BUDI mampu mengubah pelajar yang biasa menjadi luar biasa bukan sahaja dalam bidang akademik malahan bidang alternatif lain seperti keusahawanan dan kemahiran teknikal.

REAKSI PENAJA

"Melalui BUDI MARA, Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu pelajar cemerlang dalam kalangan anak asnaf dari seluruh Selangor yang berjaya mendapat tempat di MRSM seluruh negara.

Hasrat LZS agar golongan generasi kedua melalui agenda pendidikan dapat melahirkan generasi yang cemerlang dan membantu keluarga untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.” - Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Dr Adibah Abdul Wahab

Adibah
Adibah

"Penglibatan Yayasan Peneraju dalam BUDI MARA menerusi program Peneraju Tunas Geliga bertujuan untuk membantu murid Bumiputera yang lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan berpotensi tinggi serta daripada latar belakang yang mencabar dibimbing ke tahap yang lebih cemerlang.

Pihak Yayasan Peneraju telah menaja seramai 1,730 murid-murid dari tahun 2016 hingga 2020 ke MRSM termasuk pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk yuran dan elaun pelajar sepanjang lima tahun pembelajaran.” - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju)

Penglibatan Yayasan Peneraju dalam BUDI MARA menerusi program Peneraju Tunas Geliga bertujuan membantu murid bumiputera yang berpotensi tinggi serta daripada latar belakang yang mencabar dibimbing ke tahap lebih cemerlang.
Penglibatan Yayasan Peneraju dalam BUDI MARA menerusi program Peneraju Tunas Geliga bertujuan membantu murid bumiputera yang berpotensi tinggi serta daripada latar belakang yang mencabar dibimbing ke tahap lebih cemerlang.