'Pulanglah Muhammad Syukur'

Ma'ayob (kanan) dan Jalaludin (kiri) menunjukkan laporan polis dan gambar Muhammad Syukur yang hilang sejak Isnin lalu. (Gambar kecil: Muhammad Syukur0
Ma'ayob (kanan) dan Jalaludin (kiri) menunjukkan laporan polis dan gambar Muhammad Syukur yang hilang sejak Isnin lalu. (Gambar kecil: Muhammad Syukur0
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang bapa bimbang dengan keadaan keselamatan anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu.

Ma'ayob Samuri, 84, berkata, pada hari kejadian, anaknya, Muhammad Syukur Ma'ayob, 27, memaklumkan ingin keluar membeli roti canai sebelum ke tempat kerjanya di sebuah kilang alat ganti berhampiran rumahnya di Kampung Tambak Jawa di sini.

Bagaimanapun, katanya, anak bongsu daripada enam beradik yang dipercayai memakai baju kilang berwarna biru itu gagal dikesan sehingga kini.

"Dia (Muhammad Syukur) keluar berjalan kaki sehelai sepinggang, melainkan hanya membawa Yasin dan dompetnya.

"Namun sehingga kini, Muhammad Syukur masih tidak pulang ke rumah menyebabkan kami sekeluarga bimbang keselamatannya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Ma'ayob berkata, mereka sekeluarga juga berusaha mencarinya di beberapa tempat antaranya di Tanjong Karang dan Klang, namun masih belum menemui sebarang petunjuk.

Katanya, Muhammad Syukur sebelum ini pernah hilang selama tiga hari hari pada hujung Januari lalu.

"Alhamdulilah dia (Muhammad Syukur) ditemui anak dan isteri saya sedang berjalan kaki menuju ke arah Kuala Selangor di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ma'ayob berkata, Muhammad Syukur mula menunjukkan perubahan sikap semenjak kematian arwah abangnya yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 23 Oktober 2019.

"Anak saya dan arwah abangnya memang rapat, namun selepas arwah meninggal dunia perubahan sikapnya makin ketara dan lebih banyak mendiamkan diri.

"Selain itu, anak ada beritahu dia sering mendengar bisikan benda halus dan mimpi yang menyeramkan," katanya.

Ma'ayob berkata, keluarganya juga sudah beberapa kali membawa Muhammad Syukur menjalani rawatan perubatan tradisional.

"Malah, Muhammad Syukur juga sepatutnya perlu hadir ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan tahap kesihatannya pada Rabu depan," katanya.

Sementara itu, abangnya, Jalaludin, 36, berkata, adiknya itu sebelum ini ada menyuarakan hasrat kepada bapanya untuk berhenti kerja dan mencari kerja lain.

"Saya ada hantar WhatsApp kepada rakan sekerja adiknya dan memaklumkan Muhammad Syukur hanya sempat kerja setengah jam sahaja sebelum menyatakan hasrat ingin berhenti kerja di kilang tersebut," katanya.

Justeru, katanya, dia yang bimbang kehilangan adiknya itu kemudian membuat laporan polis pada jam 11.39 pagi di Balai Polis Jeram pada Khamis.

Orang ramai yang yang mempunyai maklumat diminta menghubungi keluarga Muhamad Syukur di talian 019-2526328 atau 01163378667.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan pihaknya menerima maklumat kehilangan tersebut.