Agong berkenan kurnia rumah kepada mangsa banjir

Al-Sultan Abdullah berkenan menolak kerusi roda seorang penduduk orang kurang upaya, Robiani Bakar, 58, ketika berangkat melihat proses pembinaan rumah baharu kepada mangsa banjir di Kampung Tanjung Pulai hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menolak kerusi roda seorang penduduk orang kurang upaya, Robiani Bakar, 58, ketika berangkat melihat proses pembinaan rumah baharu kepada mangsa banjir di Kampung Tanjung Pulai hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mereka yang terjejas.

Keprihatinan Seri Paduka Baginda terserlah, apabila turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri tapak pembinaan rumah baharu tersebut, masing-masing di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, di sini pada Jumaat.

Seri Paduka Baginda turut diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Sejurus tiba di Kampung Tanjung Pulai kira-kira 4 petang, Seri Paduka Baginda diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Hafizah Zakaria yang memaklumkan kerja-kerja pembinaan rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi itu, akan bermula pada minggu depan.

Al-Sultan Abdullah (kiri) berkenan beramah mesra dengan rakyat jelata ketika berangkat melihat proses pembinaan rumah baharu kepada mangsa banjir di Kampung Ganchong hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (kiri) berkenan beramah mesra dengan rakyat jelata ketika berangkat melihat proses pembinaan rumah baharu kepada mangsa banjir di Kampung Ganchong hari ini. - Foto Bernama

Menurut Hafizah, pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu, akan mengambil masa 16 minggu yang dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri.

Sementara itu, pemilik rumah, Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, berkata, beliau sangat bersyukur dan tidak menjangkakan akan menerima sebuah rumah baharu pemberian Al-Sultan Abdullah.

Katanya, sebahagian struktur rumahnya runtuh akibat banjir pada awal bulan lepas dan beliau kini menumpang di rumah saudaranya, buat sementara waktu.

Artikel Berkaitan:

“Saya sangat terharu, rumah berkenaan merupakan rumah pusaka kami dan adik beradik, untuk berkumpul ketika raya dan kenduri, kami sangat menghargai pemberian baginda ini,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Pulai, di sini.

Bagi ibu tunggal Nur Hasnah Mat Yunos, 60, yang tinggal di Kampung Sungai Gangchong, Acheh, di sini, kurniaan Seri Paduka Baginda diibaratkan rezeki yang tidak disangka untuk mereka sekeluarga.

“Rumah kami hanya rumah papan, bila banjir habis lantai rosak. Junjung kasih kepada Tuanku yang begitu baik dan sudi membina rumah baharu untuk kami,” kata Nur Hasnah yang menetap di kampung berkenaan bersama tiga anak dan dua cucu. - Bernama