X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Manfaatkan projek Ladang Sejahtera, ubah kehidupan

Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek dividen Ladang Sejahtera oleh Ku Abdul Rahman (kanan) di Sik pada Khamis.
A
A

SIK - Peserta Ladang Sejahtera diminta tidak mensia-siakan peluang menyertai projek dibangunkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peluang itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan bekerja keras, bertanggungjawab, jujur dan amanah bagi memastikan keuntungan diperoleh daripada ladang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu ada peserta terpaksa digantikan dengan orang lain gara-gara tidak memberi komitmen sepenuhnya.

“Janganlah sia-siakan peluang. Bimbang jika peserta bersikap sambil lewa, peluang yang diberikan mungkin akan ditarik balik. Kita tidak mahu sesiapa yang telah mendapat peluang menyertai projek ini terpaksa digantikan dengan orang lain jika gagal tunaikan amanah,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen Ladang Sejahtera Keda Bendang Man di Keda Agrobiz Charuk Tualang di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Muhammad Sanusi berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KEDA diumpamakan sebagai ‘orang kaya’ yang datang berbakti di negeri Kedah.

“Projek Ladang Sejahtera di daerah Sik ini adalah antara kaedah mereka berbakti. Ia bertepatan dengan slogan ‘Kedah Sejahtera-Nikmat Untuk Semua’ untuk memastikan nikmat kesejahteraan lebih menyeluruh tanpa terkecuali dan tanpa mengira latar belakang.

"Ia juga seiring slogan mahu jadikan Kedah sebagai ‘Tempat Orang Miskin Berteduh, Negeri Orang Kaya Berbakti’,” katanya.

Beliau berkata, projek Ladang Sejahtera KEDA Bendang Man itu merupakan projek tanaman getah berkeluasan 100 hektar yang ditanam 40,000 pokok getah jenis klon pokok getah pelbagai.

Projek itu melibatkan 50 peserta miskin tegar yang dipilih melalui Mesyuarat Focus Group daerah Sik.

Pemberian dividen berkenaan melibatkan kos sebanyak RM15,000 dengan setiap peserta menerima dividen sebanyak RM300.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!